Saturday 18 January 2014

Melaka tarik balik hasrat beri pingat

Idris Haron
Idris Haron

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka menarik semula hasrat menganugerahkan pingat kepada 11 pelatih komando serta dua jurulatih berikutan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati kesemua mereka kemungkinan tidak hilang selama 29 jam sebagaimana dilaporkan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menganugerahkan pingat sebagaimana diumumkan sebelum ini setelah pihak ATM menghubunginya pagi semalam bagi memaklumkan mengenai siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya siasatan mendapati kesemua pelatih dan jurulatih terbabit benar-benar sesat sebagaimana dilaporkan, kerajaan negeri akan meneruskan penganugerahan pingat itu.

“Penganugerahan pingat itu adalah cara kita menggalakkan anak muda lain menyertai tentera dan menunjukkan keberanian serta tidak putus asa bila berdepan cabaran.

“Tetapi selepas dimaklumkan mengenai siasatan yang dijalankan ini, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menganugerahkan pingat ini buat sementara waktu sehingga selesai siasatan berkenaan. Selebihnya saya tidak boleh komen kerana perkara ini dalam siasatan ATM,” katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat Seri Negeri, di sini semalam.

Dalam kejadian 7 Disember lalu, dipercayai yang pertama seumpamanya, kesemua pelatih dan dua jurulatih mereka dikatakan sesat selepas enjin bot mereka mengalami kerosakan di perairan Pulau Upeh sebelum mereka ditemui terdampar di pantai Pantai Puteri.

Bulan lalu, Idris mengumumkan kerajaan negeri akan menganugerahkan pingat yang setaraf Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada kesemua pelatih dan jurulatih mereka sebagai contoh kepada generasi muda.

Namun, difahamkan, ATM melakukan siasatan kerana cara pelatih berkenaan sesat dari laluan biasa yang digunakan pelatih menimbulkan persoalan dan syak dalam kalangan pegawai atasan ATM.

Pihak atasan ATM dikatakan meragui 'cerita sesat' berkenaan kerana laluan digunakan semasa latihan mendayung itu telah digunakan pihak komando untuk melatih anggota mereka sejak berpuluh tahun lalu.

Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Pertahanan mengesahkan yang kejadian berkenaan kini dalam siasatan. Menurutnya, satu kenyataan rasmi dijangka dikeluarkan minggu depan.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment