Saturday 18 January 2014

Remaja nyaris ditipu lelaki menyamar cari pelakon

Nyaris ditipu lelaki menyamar cari pelakon
Syarul dan rakannya menceritakan kisah hampir ditipu lelaki berkenaan.

SEREMBAN – Terpedaya dengan tawaran berlakon, dua remaja hampir ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan sebuah stesen televisyen swasta.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu menawarkan bayaran lumayan serta telefon bimbit untuk berlakon dalam filem terbaru terbitan anak syarikat stesen terbabit.

Bagaimanapun, tawaran itu hanyalah taktik lelaki terbabit mencuri barangan berharga milik mangsa.

Salah seorang remaja berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Syarul, 17, berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.30 pada 6 Januari lalu apabila dia dan rakannya bersiar-siar di bandar ini sebelum disapa lelaki berkenaan.

“Dia berpakaian kemas dan memberitahu wakil syarikat televisyen yang sedang mencari pelakon tambahan bagi filem baru menggabungkan filem KL Gangters, Mael Lambung dan Hantu Kak Limah.

“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa kerana dia datang dengan memakai pas syarikat terbabit. Malah, dia bertanya adakah kami berminat mahu menjadi pelakon tambahan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian menawarkan bayaran sebanyak RM50 sejam serta sebuah telefon bimbit jenama Iphone.

"Saya tidak membuat sebarang persetujuan, tetapi dia meminta nombor telefon bimbit saya untuk mudah dihubungi.

“Lebih kurang 4.30 petang, dia hubungi saya dan beritahu sedang menunggu saya di Medan Selera di Kompleks Terminal One.

“Memandangkan lokasi tak jauh, saya pun pergi ke tempat dijanjikan," katanya.

Syarul berkata, sebaik sahaja mereka tiba, kelihatan lelaki berkenaan bersama seorang lagi lelaki berusia lingkungan 20 tahun.

"Dia perkenalkan lelaki itu sebagai pembantu peribadinya. Kami berbual-bual seketika sebelum dia beritahu mahu menghadiri satu jamuan majlis makan malam di Hotel Royale Bintang yang turut disertai artis tempatan, antaranya Aaron Aziz," katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun rasa tidak sedap hati apabila lelaki itu meminta nombor kad pengenalan, nama penuh dan alamat rumah kami.

"Ketika itu juga, dia turut menghampiri tiga remaja perempuan yang berada di situ dan menawarkan perkara sama,” katanya.

Syarul berkata, dia kemudian menyedari ditipu apabila beberapa minit kemudian kesemua tiga remaja perempuan itu diajak ke suatu tempat, kononnya untuk disolek bagi menghadiri majlis makan malam itu.

“Ketika kami menunggu di medan selera, remaja perempuan terbabit tiba-tiba datang dan memberitahu saya mereka ditipu.

Lelaki itu dikatakan mengarahkan remaja berkenaan menyerahkan beg tangan serta barangan peribadi," katanya.

Menurutnya, dia kemudian cuba menghubungi nombor telefon lelaki terbabit, tetapi tidak berjawab.

"Malah kami cuba mencarinya di sekitar bandar ini termasuk di Royale Bintang, tetapi tiada kelibatnya,” katanya.

Syarul berkata, dia bernasib baik kerana tidak menjadi mangsa kepada lelaki berkenaan dan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati sekiranya didatangi seseorang yang mempelawa jadi pelakon.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment