Salah seorang mangsa menunjukkan sabit yang diacukan ke lehernya dan besi mengangkat sawit yang digunakan untuk mengumpil pintu pejabat dalam rompakan pusat timbang kelapa sawit di Serom 6
LEDANG – Enam penjenayah menyamar sebagai polis ketika melakukan rompakan sebuah pusat timbang kelapa sawit di Serom 6, Sungai Mati, dekat sini, awal pagi semalam (Jan 5).
Bagaimanapun penyamaran tersebut terbongkar apabila penjenayah terbabit mengacukan sabit dan parang pada leher kesemua pekerja berkenaan dan mengugut dicederakan jika ingkar arahan.
Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu membabitkan kerugian lebih RM80,000 apabila sejumlah wang tunai RM72,000, satu jam tangan berjenama, dua kamera litar tertutup (CCTV) dan 10 telefon bimbit milik pekerja asing di pusat timbang itu dilarikan penjenayah terbabit.
Pemiliknya, dia mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi salah seorang pekerjanya pada jam 4.30 pagi dan bergegas ke pusat itu melihat keadaan pejabat berselerakan dengan peti menyimpan wang dipecah.
Menurutnya, wang tunai sebanyak RM70,000 adalah bayaran untuk kira-kira 200 pekebun sawit yang menjual hasilnya di situ dan biasanya dibayar pada tarikh 5 hari bulan setiap bulan dan selebihnya gaji pekerjanya.
“Saya ambil wang dua hari awal dan simpan di sini (pusat) timbang kerana disebabkan cuti umum di Johor sudah bertukar kepada Jumaat dan mahu bayar hari ini (semalam).
“Ini pertama kali simpan wang di sejak pusat timbang dibuka lima tahun lalu dan tidak sangka kejadian (rompakan) berlaku. Biasanya bayaran bulanan itu dan gaji pekerja diambil serta dibayar pada hari yang sama wang dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh individu yang biasa dengan pusat timbangnya kerana ia dilakukan dengan cukup terancang.
“Dua daripada empat CCTV di hadapan pintu pejabat terlebih dahulu dirosakkan dan tiga anjing peliharaannya juga hilang dan pulang semula ke pusat timbang beberapa jam selepas kejadian.
“Mereka masuk kawasan ini dari pintu tepi pagar dan kemudian menggunakan kuku kambing dan besi-besi sedia ada untuk memecahkan mangga serta mengumpil masuk pejabat,” katanya.
Seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Rudy, 33, berkata, dia bersama enam rakan lain diikat tangan dan dikumpulkan dalam satu bilik.
“Kami dikurung dalam bilik tersebut dan penjenayah terbabit mengunci dari luar sebelum menggeledah pejabat.
“Ikatan tangan menggunakan tuala mandi berjaya dileraikan dan saya bantu buka ikatan tangan rakan yang lain,” katanya.
Katanya, dia berlari ke bahagian pejabat tetapi kesemua penjenayah telah melarikan diri. Hanya seorang penjenayah memakai topeng dan semasa kejadian mereka menutup lampu dan hanya menggunakan lampu suluh.
Rudy yang berasal dari Lombok, Indonesia berkata, suspek-suspek terbabit adalah warga tempatan berdasarkan loghat yang digunakan semasa menghubungi seseorang memaklumkan telah selesai untuk membawa mereka pergi.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintenden Mohd Salleh And Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 375/379 kanun keseksaan.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment