Monday 6 January 2014

Anggota polis mati ditembak ketika rondaan


KUANTAN: Pegawai Penyiasat Balai Polis Jaya Gading, Kuantan Pahang ditemui mati dengan kesan tembakan di mata dan dada di ladang LKPP Jaya Gading, kira-kira 9 pagi tadi.

Mangsa, Koperal Abdul Halim Mohd Ali, 48 tahun yang berasal dari Triang , Pahang terkena satu das tembakan, dipercayai peluru tabur daripada senapang buatan sendiri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, mangsa melakukan Rondaan Cegah Jenayah bersama 3 anggota yang lain petang semalam.

Ketika rondaan, mereka terserempak dengan dua suspek bermotosikal sebelum bertindak mengejar mereka di ladang berkenaan.

Mangsa yang juga bekas Komando 69 telah mendahului anggota lain, mangsa kemudian bagaimanapun gagal dihubungi.

Pagi tadi, mayat mangsa dijumpai seorang pekerja ladang terbabit.

“Pagi ini, kira-kira 9 pagi telah ditemui arwah telah pun didapati meninggal, dalam kejadian tersebut telah panggil forensic dan petologist daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan, HTAA untuk mengesahkan kematian. Tadi disahkan meninggal disebabkan tembakan,” kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab. Ghani.

Polis turut menemui satu laras senapang patah berhampiran lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.

Polis kini sedang memburu dua suspek terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment