Thursday, 2 January 2014

Penangan 'Pak Guard Azman'

Cinta Pandang Kedua terima publisiti awal
Cinta Pandang Kedua terima publisiti awal

FENOMENA adaptasi novel kepada drama merupakan trend terkini dalam industri hiburan tanah air. Pembaca novel kini berpeluang menyaksikan watak-watak di dalam imaginasi mereka menjadi realiti melalui layar televisyen mahupun filem.

Terkini, novel Cinta Pandang ke-2 tulisan Laila Kamilia terbitan Grup Buku Karangkraf (Alaf 21) telah pun diangkat ke layar televisyen melalui Slot Aurora khas untuk peminat tegar novel itu.
Drama 13 episod terbitan ZK Creative Production Sdn. Bhd, mula disiarkan pada 2 Disember, setiap Khamis jam 8.30 malam, di TV9.

Diarahkan oleh M Nazir Juhan atau lebih dikenali sebagai Jet Li, skrip drama ini mendapat khidmat empat penulis, Maizura Mohd Ederis, Zuli Ismail, Eenaz Mohkhtar dan penulis novel ini sendiri, Laila Kamilia.

Malah dibintangi barisan pelakon hebat seperti Izara Aishah, Dazrin Kamarudin, Maria Farida, Redzuan Hashim, Dian P.Ramlee, Amira Rosli dan Along Eyzendy.

Lebih menarik, apabila drama ini turut menampilkan pengawal keselamatan kontroversi, Azman Md Nayan, yang pernah mencuri perhatian seluruh masyarakat, susulan insiden dimaki hamun oleh isteri kepada pemain bola sepak terkenal negara.

Menurut pengarahnya, Jet Li berkata walaupun drama ini menerima promosi lebih awal kerana penangan 'Pak Azman' namun ia sekadar kebetulan dan bukannya menggunakan pengawal keselamatan itu sebagai pelaris.

"Tidak terlintas sedikit pun untuk mempergunakan pakcik Azman sebagai promosi atau pelaris. Sebaliknya idea itu timbul setelah rakan memberitahu bahawa lapangan terbang (Subang) tempat pakcik Azman bekerja.

"Lepas itu, saya kata tak kisah jika dia kelapangan untuk berlakon dalam drama ini," katanya yang mengambil masa 50 hari menjalani penggambaran drama itu di sekitar Kuala Lumpur.

Cinta Pandang Kedua mengisahkan seorang gadis bernama Ainnur (Izara) yang sering menjadi mangsa buli rakan sekolahnya kerana saiz fizikal yang agak besar.

Dek ejekan itu, dia berubah menjadi seorang yang pemarah dan bengis. Walaupun sering dinasihati oleh ibunya, Puan Dalila (Maria Farida) supaya mengawal pemakanan dan sikapnya, Ainnur sering tidak mengendahkannya. 

Namun kehadiran Zairul (Dazrin), budak baru yang sering mencabar kesabarannya kerana jejaka itu telah memalukannya di hadapan rakan sekelas mereka. Perbuatan jejaka itu membuatkan Ainnur bersumpah untuk membalas dendam sehingga Zairul melutut dan merayu-rayu untuk berkahwin dengannya suatu hari nanti.

Cabaran lebih besar

Kebiasaannya setiap drama memerlukan masa 30 lebih untuk menyiapkan proses penggambaran namun berbeza dengan drama ini yang mengambil masa lebih lama berbanding biasa.

Jet Li berkata, pelbagai kekangan dan halangan berlaku sepanjang penggambaran apatah lagi ketika itu musim hujan bermula.

"Kami mulakan penggambaran sekitar bulan Jun lalu, kebetulan musim hujan baru mula ada kalanya kami terpaksa menangguhkan shooting. Jika cuaca kembali elok, artis pula tidak dapat hadir kerana terikat dengan jadual tugasan lain.

"Alhamdulillah, banyak masalah kami hadapi tetapi semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Walaupun pelakon utamanya, Izara terikat dengan penggambaran Oh My English! di Amerika Syarikat namun dia memahami perjalanan kerja artis yang agak terhad.

Katanya, dia bersyukur kerana kebanyakannya artis yang terlibat beri komitmen sepenuhnya biarpun jadual penggambaran kerap terganggu.

Dalam masa sama, dia turut mengalami keadaan sukar apabila skrip drama tersebut tidak disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

"Ketika mula penggambaran saya diberitahu bahawa skrip hanya siap dalam lapan episod sahaja. Terdapat beberapa perubahan yang terpaksa saya lakukan demi menyiapkan drama ini walaupun mengambil masa yang agak panjang," katanya.

Sukar cari pelakon

Sementara itu, penulis novel Cinta Pandang Kedua, Haslina Kamaruddin atau lebih dikenali dengan nama penanya, Laila Kamilia, meluahkan rasa gembira kerana turut di undang untuk menjadi panel skrip drama tersebut.

Walaupun terlibat secara tidak langsung, namun Haslina tetap berpuas hati dan memuji sikap pengarah drama tersebut (Jet Li) yang sedaya upaya mengekalkan originaliti jalan cerita dalam novel asalnya.

"Kali pertama kami berjumpa, dia berjanji untuk sedaya upaya untuk mengikut skrip yang telah disediakan. Namun ada perubahan yang dilakukan olehnya mengikut kesesuaian jalan cerita pada sesetengah watak pada episod akhir.

"Kami berbincang dan bersetuju untuk mengubah skrip berdasarkan pandangannya. Itulah antara perubahan yang kami lakukan dalam drama ini," katanya.

Biarpun berhadapan dengan kesukaran untuk mencari pelakon yang sesuai dengan watak Ainnur, dia berkata perbezaan novel dan realiti agak berbeza.

Menurutnya, versi novel lebih mudah digambarkan berbanding versi drama untuk meyakinkan penonton bahawa Ainnur sewaktu gemuk dan kurus adalah orang yang sama.

"Kami terpaksa memikirkan cara kreatif bagi ‘menerangkan’ perubahan wajah fizikal Ainnur.

"Bagi versi novel, pembaca boleh membayangkan wajah Ainnur yang comel berubah cantik kerana sudah kurus tetapi drama pula berbeza untuk memvisualkan wajah pelakon yang hampir-hampir sama agak sukar bagi kami.

"Tambahan pula untuk mencari pelakon yang mempunyai pakej lengkap sebagai Ainnur yang memenuhi ciri seperti pelakon yang berbakat, berbadan saiz besar, comel dan sempurna seperti Izara adalah mustahil," katanya.

Terima layanan baik

Dalam perkembangan lain, Haslina berkata dia bersyukur mendapat kerjasama yang baik daripada semua yang terlibat dalam produksi itu. Katanya, penerbit drama Zaini Kosnin memberi saya ruang dan peluang untuk bersama sepanjang penggambaran dijalankan.

"Mereka juga menerima pandangan saya selaku penulis novel ini. Malah kami turut bekerjasama dalam usaha mempromosikan drama dan novel Cinta Pandang ke-2 ini," katanya.

Untuk makluman, novel tersebut merupakan karya keempat daripada lima novel keseluruhannya dan ia adalah novel pertama yang diadaptasikan. Selain novel itu, dia turut menghasilkan beberapa novel lain seperti Lakaran Kasih, Saat Kau Hadir dan Cinta Bunga Tulip untuk terbitan Alaf 21.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment