Rodziah Ismail
SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan kini tidak berupaya bagi memikirkan cara lain selain menaikkan kos hidup rakyat dan sangat terdesak untuk menampung pembaziran dan ketirisan yang berlaku sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara.
Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, rakyat kini semakin terhimpit dan tertekan selain mewujudkan jurang yang luas golongan kaya dan miskin dan meningkat bilangan rakyat yang bankrap dari semasa ke semasa akibat dari peningkatan kos sara hidup kini.
“Apakah rasionalnya penjimatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika tiada ketelusan dan tata kelola baik wujud dalam pentadbiran dengan standard minimum pentadbiran kewangan sesebuah negara?
“Audit Negara pula melaporkan transaksi bersifat kontroversi perbelanjaannya dan jika rasuah dan ketirisan terus berlaku, mana mungkin ada penjimatan?" katanya dipetik blog, rodziahismail.com, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor kini turut memperkenalkan pelbagai program bagi meningkatkan pendapatan seisi rumah yang terjejas akibat kenaikan barangan dan perkhidmatan melalui polisi kebajikan kepada pendapatan (welfare to workfare).
“Bantuan kerajaan negeri diharap memberi kesan dari segi ekonomi rakyat dan ia boleh menjadi lebih mudah jika Kerajaan Persekutuan tidak menaikkan kos yang jelas membebankan rakyat,” katanya.
Pihaknya turut memprotes langkah yang disifatkan sebagai tidak wajar apabila menaikkan segala kos yang jelas menghimpit kehidupan rakyat dan masa depan.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment