Thursday 28 November 2013

Tembak akibat tak puas hati?

Tembak akibat tak puas hati?
Pegawai penyiasat polis sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian, semalam.


NILAI - Beberapa das tembakan dilepaskan ke pejabat urusan sebuah pemaju perumahan di Taman Bunga Raya, Mantin, dekat sini malam kelmarin.

Kejadian dilakukan penjenayah malam kelmarin dipercayai ada kaitan dengan isu tanah Kampung Hakka yang diambil syarikat terbabit, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kejadian hanya disedari kira-kira 9 pagi oleh salah seorang kakitangan syarikat berkenaan yang tiba di pejabat untuk memulakan tugas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid bagaimanapun berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung tindakan itu untuk mengenalpasti motif kejadian.

Menurutnya, sebanyak lapan das tembakan dilepaskan individu tidak dikenali ke arah pejabat berkenaan sehingga menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah.

“Kita turut menjumpai lapan kelongsong peluru pistol di hadapan premis berkenaan dipercayai ditinggalkan suspek.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap syarikat berkenaan berkata, beberapa orang awam yang tinggal berhampiran memberitahu mendengar letupan antara jam 12 hingga 12.30 tengah malam kelmarin, bagaimanapun mereka sangkakan bunyi mercun.

"Kita percaya kejadian ini mempunyai kaitan dengan isu pengambilan tanah Kampung Hakka apabila ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memihak kepada syarikat ini,” katanya.

Menurutnya, selain pintu kaca, dinding pejabat itu turut retak akibat terkena beberapa das tembakan.

Sebelum ini, isu Kampung Hakka mengundang kontroversi apabila penduduk enggan berpindah selepas diambil pemaju terbabit yang membangunkan sebidang tanah di kampung berkenaan.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi Seremban memerintahkan penduduk berpindah bagi membolehkan kerja-kerja perobohan dijalankan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment