Thursday 28 November 2013

Kayu berharga! Gaharu ditebang secara haram

Gaharu ditebang secara haram
Pokok gaharu ditebang secara haram ini mempunyai nilai yang begitu tinggi di pasaran.


TANJUNG BUNGAH -  Kira-kira lima batang pokok gaharu ditemui tumbang dipercayai ditebang secara haram di sini.

Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu berkata, beliau mengesan pokok terbabit ditebang ketika mendaki bukit di hutan Bukit Tanjung Bungah.

Menurutnya, ia bukanlah kejadian pertama kali kerana sebelum ini sudah berlaku kejadian pokok besar ditebang tanpa pengetahuan pihak bertanggungjawab.

“Saya percaya ada sindiket yang terlibat dengan penebangan pokok haram ini kerana ia kerap terjadi dan antara lokasinya termasuk di Bukit Bendera, Taman Botani, Bukit Tanjung Bungah, Batu Feringghi dan Teluk Bahang.

“Kesemua kawasan terbabit mempunyai pokok gaharu yang agak besar dan banyak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang berjaya mengesan beberapa warga asing yang dipercayai menebang pokok gaharu secara haram pada bulan lalu.

Dalam operasi yang sama, jabatan berkenaan percaya pencuri menggunakan gergaji untuk menyembunyikan kegiatan mereka.

Sekeping kayu pokok gaharu mampu mencecah nilai dari RM50,000 hingga RM100,000 dan digunakan sebagai minyak wangi dan ubat-ubatan.

Malah ia juga dijual dengan harga yang agak lumayan di negara Timur Tengah.

Yee Cheu berkata, tindakan pemantauan sentiasa dilakukan kakitangan Jabatan Perhutanan namun mereka kekurangan kakitangan.

“Saya selalu daki bukit terbabit dan membantu jabatan berkenaan memantau kawasan berkenaan dan tidak akan teragak-agak untuk menangkap pencuri,” katanya


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment