Thursday 28 November 2013

Polo Hatchback bakal dipasarkan di Malaysia pada 2014

Polo Hatchback berlabuh 2014

MODEL Volkswagen telah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) sejak beberapa tahun.

Namun kali ini di KLIMS13, pertama kalinya pengeluar kereta Jerman itu mengambil bahagian.

Penglibatan sulung tersebut melibatkan skala yang besar dengan ruang pameran seluas 1,100 meter persegi di Dewan 2 yang mempamerkan hampir keseluruhan rangkaian model Volkswagen yang ditawarkan di Malaysia.

Menggunakan warna tema putih sudah menjadi sinonim buat Volkswagen di dalam auto show. Pameran kali ini juga meneruskan galakan kesedaran mengenai kecekapan bahan api dan kemampanan.

Pada pameran KLIMS13, Volkswagen Group Malaysia (VGM) turut mengambil peluang memperkenalkan model ketiga pemasangan tempatan (CKD) mereka iaitu Polo hatchback sebulan selepas pelancaran model Polo Sedan CKD.

Seperti model Polo Sedan, Polo hatchback turut menggunakan enjin 1.6 MPI yang berupaya menghasilkan kuasa 105PS dan tork setinggi 153Nm.

Untuk penghantaran kuasa yang lancar, model kompak berkenaan dipasang dengan transmisi automatik 6-kelajuan bersama padanan Tiptronic.

Malah untuk kecekapan bahan bakar di atas kertas, Polo hatchback itu mampu memberikan penjimatan 15.9 kilometer setiap liter bersamaan dengan 716 kilometer bagi tangki penuh.

Menurut Pengarah Urusan VGM, Dr Zeno Kerschbaumer, model CKD itu adalah pengembangan keluarga Polo bagi mencapai segmen paling penting dalam pasaran automotif tempatan.

“Menerusi reka bentuk sporty dan dinamik, Polo hatchback disasarkan kepada pelanggan berjiwa muda,” katanya.

Apa membezakan model CKD ini dengan model yang diimport (CBU) adalah Polo hatchback CKD dilengkapi dengan gril berkembar dengan kemasan krom di bahagian hadapan, lampu hadapan jernih, rekaan baharu lampu belakang dan juga rim aloi 15 inci Riverside berbanding 17 inci Boavista bagi CBU.

Bakal bersaing dalam liga saingan utama seperti Kia Rio, Honda Jazz, Ford Fiesta dan Suzuki Swift, model ketiga CKD dari VGM ini didatangkan dengan kawalan kruise, radio RCD 320 dengan sambungan USB, AUX, kad SD dan bluetooth, pendingin hawa Climatronic dan cermin berkuasa automatik untuk kesemua tingkap.

Untuk keselamatan model ini dilengkapi antaranya dua beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Sistem Intelligent Crash Response (ICRS) serta ISOFIX.

Polo hatchback yang dipamerkan di KLIMS13 didatangkan dengan dua warna iaitu merah dan putih. Bakal berada di pasaran tahun hadapan, model kompak berkenaan turut ditawarkan dengan warna kelabu, hitam dan perak selain merah dan putih.

Jika harga Polo Sedan 2014 yang baru sahaja dilancarkan sekitar RM85,888 (tanpa insurans) tidak mustahil harga bagi Polo hatchback dalam lingkungan berkenaan memandangkan spesifikasi dan ciri yang ditawarkan adalah sama.

Namun menurut sumber, anggaran harga bagi model ketiga CKD yang dipasang di Pekan, Pahang itu sekitar RM88,888. Sama-sama kita nantikan pengumuman dari VGM.

Nampaknya VGM semakin agresif untuk menambat pasaran negara menerusi model CKD. Khabarnya VGM juga kini bersedia mengeluarkan model keempat CKD mereka dan kemungkinan model berkenaan ialah Volkswagen Jetta. Betul atau tidak, kita nantikan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment