Thursday 28 November 2013

Citroen DS3 baru sesuai pemanduan urban

Citroen DS3
Citroen DS3

Citroen DS3
Citroen DS3

PAMERAN Kuala Lumpur Motor Show 2013 (KLIMS13) baru sahaja melabuhkan tirainya hujung minggu lalu. Pada pameran kali ini, pihak pengeluar mengambil peluang untuk mempamerkan model akan datang ke pasaran Malaysia pada 2014.

Tidak terkecuali, Naza Euro Motors, Pengedar rasmi jenama Citroen di Malaysia turut mempamerkan model Citroen DS3 iaitu model ketiga yang akan di bawa masuk selepas mengambil alih francais Citroen awal tahun ini.

Berada di dalam barisan lencana DS, model tersebut dijangka akan tiba suku pertama 2014. Menurut pihak Naza Euro pelanggan di Malaysia akan menerima DS3 yang dikuasakan enjin 1.6 VTi bersama padanan transmisi empat kelajuan automatik.

Model hot hatch pacuan roda hadapan itu mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 10.9 saat dengan kelajuan maksimum 190 km/j.

Kehadiran model dua pintu ini memberikan pengalaman pemanduan yang lincah dengan radius pusingan 10.3 meter (m) yang membuatkan ia mudah mencelah di pusat kota yang sesak.

Kehadiran DS3 dengan reka bentuk jentera mesra bandar itu pertama kalinya dipamerkan pada Frankfurt Motor Show 2009 sekali gus meraih anugerah “Car of the Year 2010” oleh majalah Top Gear United Kingdom.

Rekaan luaran model keluaran Perancis itu memiliki rekaan tersendiri seperti tiang B dengan bentuk ‘sirip yu’ dan lampu LED hadapan yang menawan yang biasanya dilihat pada model premium.

Model DS3 menggabungkan gaya mewah bersama padanan praktikal dan mencipta kabin yang sangat luas walaupun dimensi luarannya kompak. Pada ukuran panjang 3.95m, 1.71m (lebar) dan 1.46m (tinggi), dengan bingkai kabin DS3 yang lebih kemas ia menetapkan standard baru daripada segi keluasan.

Hasil kerja seni reka bentuk dalaman yang luas itu, penghuni boleh menikmati tahap kelapangan yang biasanya boleh didapati pada model dalam segmen yang lain.

Masuk ke bahagian kabin, posisi tempat duduk berinspirasi kokpit meletakkan pemandu dalam kawalan sepenuhnya dengan kluster peralatan gaya sport cukup menegaskan aura sporty pada kenderaan ini.

Reka bentuk papan pemuka yang sedikit ‘ke atas’ mewujudkan ruangan untuk kaki hadapan yang mencukupi manakala rekaan kerusi depan dan belakang yang langsing menawarkan ruangan kaki dan kepala yang mencukupi untuk dua penumpang duduk dengan selesa.

Bukan itu sahaja, pihak Citroen turut mengambil berat ruangan but di mana pengeluar kereta Perancis itu menyediakan ruangan dengan kapasiti 285 liter yang terbesar dalam segmennya. Tambahan lipatan kerusi belakang dengan nisbah 60:40 memberi bonus untuk menampung barangan yang banyak.

Masih belum mengumumkan sepenuhnya spesifikasi model baharu itu, dapat dilihat DS3 dilengkapi dengan kawalan kruise, kawalan lampu hadapan adaptif, sensor hujan automatik, pencahayaan lampu hadapan automatik, kemasan kulit upholsteri, serta pendingin hawa digital automatik.

Harga masih belum diumumkan dan sama-sama kita nantikan kehadiran model yang bakal menyertai DS4 dan DS5 selewat-lewatnya bulan Februari 2014 hadapan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment