Thursday 28 November 2013

Hebat! Oh My English! ke Amerika Syarikat

Oh My English! ke Amerika Syarikat

Program popular yang menjadi fenomena kini, Oh My English! terbang ke Amerika Syarikat.

Sejurus selesai tayangan telefilem Oh My Ganu! yang disiarkan di saluran TVIQ dan Maya HD malam tadi, produksi Oh My English!mengumumkan kejutan akan menerbitkan sebuah lagi telefilem.

Mula disiarkan pada tahun 2009, sehingga kini produk Oh My English telah ditonton oleh 5 juta penonton di pelbagai platform, memiliki lebih 500,000 pengikut di Facebook dan mencapai tontonan lebih 11 juta tontonan di YouTube, terbaru, telefilem produksi fenomena itu menjalani penggambaran di Amerika Syarikat.


Penerbit Eksekutif Oh My English!, Lina Tan mengesahkan perkara tersebut sewaktu dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.

Kejutan tersebut turut disahkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menerusi akaun Twitter rasmi @usembassykl.


Antara pelakon yang membintangi telefilem tersebut termasuk pelakon Aaron Aziz, Izara Aishah, Tiz Zaqyah, Zain Saidin dan beberapa pelakon utama lain.

Turut dikatakan akan membuat penampilan khas ialah Hannah Foster, pelajar pertukaran budaya dari Amerika Syarikat yang kini berada di Malaysia. Hannah popular di sini menerusi akaun Twitter @nasigorengusa.

Menurut Lina, penggambaran telah pun dibuat pada awal November lalu.


Oh My English! menjadi perkara paling trending malam tadi sewaktu tayangan telefilem Oh My Ganu! yang turut dibintangi Tiz Zaqyah, Zain Saidin serta bintang undangan Zizan Razak.

Berlatar keindahan negeri Terengganu, Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) pulang ke kampungnya setelah menamatkan perkhidmatannya sebagai guru di Sekolah Ayer Dalam. Kepulangan Cikgu Ayu menyedihkan para pelajarnya termasuk Cikgu Henry Middleton (Zain Saidin).

Di kampung Cikgu Ayu, dia menjadi perhatian seorang jutawan keropok lekor, Zizang (Zizan Razak). Berlaku perebutan antara Henry dan Zizan bagi menawan hati Cikgu Ayu.

Sokongan penonton yang menyaksikan telefilem tersebut menjadikan #OhMyGanu dan #OhMyEnglish perkara trending nombor satu di Malaysia malam tadi.
















Oh My Ganu! bakal diulang tayang pada Ahad ini pada pukul 6 petang di saluran TVIQ dan Maya HD. Layari laman YouTube Oh My English!dan Facebook OME! untuk klip video eksklusif program tersebut.

Sementara itu, satu aplikasi permainan Oh My English turut dihasilkan untuk pengguna iOS dan pengguna Android dan boleh dimuat turun sekarang.


ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment