Thursday 28 November 2013

Ali Tinju beri amaran menari menonggeng di hadapan rumah Azmin


Mohd. Ali Baharom juga dikenali Ali Tinju


Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd. Ali Baharom memberi amaran akan mengadakan siri kedua tarian menonggeng di hadapan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali jika terus 'menganggu' Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohd Ali yang juga dikenali Ali Tinju meminta Azmin memohon maaf secara terbuka sekiranya tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar kerana ia memalukan Rosmah dan Perdana Menteri.

“Saya sebenarnya sudah SMS kepada Azmin suruh dia bertaubat dan jangan ganggu isteri PM tetapi dia tak jawab. Azmin hanya bertanyakan kepada media siapa Ali Tinju?

“Kalau dia belum kenal Ali Tinju dia patut tanya Pengerusi Bersih (Ambiga) . Jika dia tidak berbuat demikian kami tidak menolak kemungkinan mengadakan tarian siri kedua menonggeng akan bermula. Saya cuma nasihatkan dia supaya jangan biadap,” katanya pada sidang akhbar di sini petang tadi.

Ali Tinju juga mengingatkan Azmin supaya menumpukan tugasnya sebagai wakil rakyat di Gombak dan memberi perhatian kepada kebajikan penduduk negeri Selangor.

“PVTM dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu Azmin bersemuka dengan Rosmah bagi mendapatkan penjelasan daripada mempertikaikannya di dalam media.

“Malah kami (NGO-NGO) bersedia mengaturkan pertemuan Azmin dengan Rosmah sekiranya dia (Azmin) berani. Jika tidak saya Ali Tinju dan rakan-rakan tidak teragak-agak mengambil tindakan tertentu kepadanya,” jelasnya sambil menambah Rosmah banyak berjasa kepada negara termasuk menubuhkan PERMATA.

Sementara itu, Basir juga mahu Azmin menumpukan isu kenaikan gaji Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melebihi gaji PM kerana ia jelas membazir daripada mempertikaikan hal ehwal Rosmah.


ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment