Thursday 28 November 2013

Kenapa kedai kami bergegar setiap hari...!!??

Kedai bergegar setiap hari
Sebuah treler yang membawa muatan jengkaut tidak menghiraukan papan tanda walaupun hanya kenderaan ringan sahaja boleh membuat pusingan U.


KUALA LANGAT - Peniaga menggesa campur tangan pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah kenderaan berat yang menjadikan jalan raya di hadapan premis mereka sebagai laluan keluar masuk sejak beberapa bulan lalu.

Mereka mendakwa, masalah itu menyebabkan penduduk terpaksa berdepan risiko kerugian akibat tindakan lori mengangkut tanah, batu dan simen bagi kerja-kerja pembinaan beberapa projek besar di kawasan berhampiran.

Seorang peniaga, Tan Sook Hua, 38, berkata, dinding premisnya mengalami gegaran malah sebahagian besar siling kedainya rosak akibat kenderaan berat yang melalui kawasan itu hampir 24 jam sehari.

“Lori pengangkut tanah yang keluar masuk setiap hari menyebabkan laluan jalan turut mengalami retak teruk.

“Selain mengalami kerugian akibat tindakan mereka, nyawa kami juga terancam kerana pemandu kenderaan berat ini seolah-olah tidak pedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan memandu secara laju dan berbahaya,” katanya.

Sook Hua berkata, habuk dan bunyi bising itu mengganggu penduduk yang kebanyakannya sudah hampir 20 tahun menetap di kawasan terbabit.

“Bukan sahaja sebabkan risiko kemalangan nyawa tetapi kemalangan kecil akibat perlanggaran tanpa disedari pernah berlaku namun masih tiada tindakan dilakukan,” katanya.

Pengguna, P Suriah berkata, aktiviti keluar masuk kenderaan berat yang semakin aktif itu mengganggu ketenteraman penduduk sehingga mereka sukar tidur lena.

“Pada waktu malam, bilangan kenderaan berat yang melalui jalan ini semakin banyak dan boleh dikatakan lima kenderaan berat setiap 30 minit.

“Apa yang dikesalkan, pengusaha projek berkenaan mengambil sikap lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab dengan aktiviti pemandu lori yang masih menjalankan kerja pembinaan sehingga malam,” katanya.

Sementara itu, Adun Telok Datok, Loh Chee Heng berkata, dia belum menerima aduan daripada pihak berkenaan namun tidak menafikan laluan berkenaan sering sibuk dengan aktiviti pembinaan yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Katanya, dia akan turut padang melihat sendiri keadaan lalu lintas untuk diambil rekod sebelum memanjangkan perkara itu kepada pihak terlibat.

“Namun, mengenai masalah jalan yang rosak akibat kenderaan berat yang keluar masuk di laluan berkenaan akan diambil tindakan segera.

“Pihak kami memohon sejumlah peruntukkan kepada beberapa pihak namun sehingga kini masih belum mendapat kelulusan,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment