Monday 7 October 2013

Terkilan hajat abang tak sampai

Terkilan pemergian abang
Keadaan bas yang mengorbankan nyawa Ibrahim dalam kemalangan, awal pagi semalam, Oktober 6.


SERDANG - “Saya terkilan sebab hasrat kami memancing bersama selepas Hari Raya Aidiladha nanti tidak tercapai,” kata adik pemandu bas ekspres, Ibrahim Ahmad, 58, yang maut selepas kenderaan dibawanya merempuh papan tanda di Kilometer 21, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), awal pagi semalam.

Yunus Ahmad, 46, yang ditemui semalam berkata, perancangan memancing sudah lama dibuat tetapi semuanya tidak bermakna lagi kerana abang kesayangannya itu sudah tiada.

Menurutnya, dia terkejut ketika dimaklumkan oleh anak saudaranya tengah hari semalam berhubung kejadian yang menimpa abangnya.

"Ketika itu saya belum tahu status abang dan hanya diberitahu dia mungkin dirawat sama ada di Hospital Putrajaya atau Hospital Serdang.

"Saya terus hubungi kedua-dua hospital terbabit sebelum dimaklumkan abang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang," katanya.

Yunus berkata, dia bersama isteri dan anak-anak segera bergegas ke hospital, namun mereka tiba lewat 15 minit apabila abangnya disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang semalam.

“Berita itu sangat mengejutkan kerana saya berharap sekurang-kurangnya dapat berjumpa dan bercakap dengannya, tapi apakan daya ALLAH lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Serdang, semalam.

Katanya, dia dan abangnya itu sememangnya gemar memancing sehingga pernah memancing sehingga ke Perlis.

"Memancing bukan sekadar hobi kami tetapi adalah rutin setiap kali kami sekeluarga berkumpul.

"Biasanya abang akan ambil cuti beberapa hari jika merancang untuk pergi memancing," katanya.

Malah katanya, kehilangan abangnya itu amat dirasai lebih-lebih lagi Allahyarham seorang bertanggungjawab malah seorang yang berhati-hati ketika memandu.

Beliau berkata, apabila mendapat tahu berhubung nahas itu, dia sangat terkejut kerana Allahyarham sudah berpengalaman membawa bas ekspres sejak lebih 10 tahun lalu.

“Setahu saya, dia juga tak pernah ada penyakit kronik seperti sakit jantung. Cuma kali terakhir saya hubungi dia minggu lalu, dia maklumkan sedang demam,” katanya.

Sementara itu, jenazah Ibrahim yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sudah dituntut untuk dibawa pulang ke Sungai Rokam, Ipoh, Perak untuk dikebumikan malam ini (semalam).

Ibrahim meninggalkan seorang isteri serta tiga anak lelaki berusia lingkungan 20-an.


Sumber

No comments:

Post a Comment