Keadaan paha mangsa yang terpaksa menerima 30 jahitan selepas dirotan seorang ustaz warga Bangladesh di sebuah madrasah di Jengka, Pahang.
Mangsa dibawa balik bapanya dari Pahang dan terus dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Subang untuk mendapat rawatan lanjut.
PUCHONG – Hanya kerana gagal menjawab soalan yang ditanya, seorang pelajar di sebuah madrasah di Jengka, Pahang didakwa telah dirotan sehingga tisu pahanya koyak dan terpaksa menerima 30 jahitan.
Bapa mangsa yang berusia 40 tahun berkata, kejadian malang menimpa anak ketiganya itu diketahui 27 September lalu selepas dimaklumkan oleh ibunya yang berada di Pahang.
Sebaik menerima panggilan telefon mengatakan anaknya, pelajar berusia 14 tahun, demam teruk, dia yang menetap di Pangsapuri Enggang Bandar Kinrara, Puchong bergegas pulang ke kampung pada malam hari sama.
Dia mendapati anaknya hanya terbaring, tidak boleh berjalan dan kaki mengalami bengkak serta lebam. Apabila bahagian paha ditekan, ia seolah-olah lembik di bahagian dalam.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia kemudian membawa anaknya itu ke hospital dan pembedahan dilakukan Selasa lalu apabila doktor memaklumkan bahagian dalaman paha anaknya itu mengalami pendarahan teruk serta bernanah.
Doktor juga memberitahu kaki anaknya dipercayai dipukul dengan benda keras.
Dakwanya, sejak hari kejadian anaknya tidak boleh tidur malam kerana kaki asyik berdenyut dan sakit.
Apabila ditanya, anaknya itu memberitahu dia dirotan sebanyak 15 kali oleh seorang ustaz warga Bangladesh yang berkhidmat di madrasah terbabit.
Beliau berkata, anak sulungnya berusia 16 tahun yang turut menuntut di madrasah sama mendakwa nampak adiknya dirotan.
“Nasib baik ibu saya yang tinggal berhampiran madrasah datang menjenguknya selepas seminggu kejadian, kalau tidak
mungkin saya tidak tahu kerana pihak sekolah juga tidak maklumkan,” katanya.
Katanya, anaknya kini trauma dengan apa yang berlaku dan sejak itu dia terus mengeluarkan kedua-duanya anak dari madrasah terbabit.
Katanya, anaknya yang mula menuntut ilmu agama di madrasah terbabit sejak Mac lalu masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.
“Sebelum ini mungkin dia pernah dirotan tetapi tidak pernah mengadu kerana mungkin tidak serius. Bagaimanapun, kali ini saya anggap ia teruk dan akan menuntut ganti rugi kos perbelanjaan perubatannya,” katanya.
Pengadu turut sedih kerana anaknya mempunyai keinginan tinggi menuntut ilmu agama tetapi diperlakukan sedemikian rupa.
Menurutnya, Jika pihak madrasah enggan penuhi tuntutan ganti rugi, dia akan memfailkan saman berhubung perkara itu.
Turut mengecewakannya apabila pihak madrasah yang berjanji datang menjenguk anaknya tidak berbuat demikian meski sudah hampir dua minggu kejadian berlaku.
Sumber
No comments:
Post a Comment