Monday 7 October 2013

Kanak-kanak 10 dan 11 tahun dibelasah kekasih ibu

Dibelasah kekasih ibu
Kesan dera bahagian belakang mangsa


Dibelasah kekasih ibu
Mangsa dera bersama datuk dan neneknya hadir ke IPD Sabak Bernam bagi membantu siasatan polis



SABAK BERNAM – Seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila sanggup mendera dua anak teman wanitanya menggunakan getah paip dan tali pinggang sejak lebih lima bulan lalu di sebuah kampung di Sabak Bernam.

Kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun yang kematian bapa dua tahun lalu, selain tidak bersekolah dipercayai  tinggal serumah dengan suspek berusia 33 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, ibu mangsa berusia 32 tahun yang tidak tahan dengan perangai suspek kemudian menghubungi keluarganya di Cheras bagi mendapatkan bantuan.

“Ibu mangsa yang telah lama memendam perasaan dengan sikap keji suspek mengadu kepada bapanya supaya datang mengambil mereka kerana sudah tidak sanggup melihat anaknya didera lelaki berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, sebaik menerima panggilan jam 8 pagi itu, bapa wanita yang tiba kira-kira jam 4 petang terus membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam terlebih dahulu sebelum menuju ke rumah suspek.

“Datuk kanak-kanak itu bersama seorang lagi menantunya yang tiba di rumah sewa suspek terkejut apabila mendapati dua cucunya ditinggalkan dalam rumah itu, sementara anak perempuannya dan suspek tiada di rumah.

“Datuk mangsa yang berasa curiga atas perbuatan suspek terus membuat pemeriksaan pada badan kedua-dua cucunya itu dan mendapati terdapat tanda-tanda kanak-kanak itu didera berdasarkan kesan parut,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek kira-kira jam 5 petang sewaktu lelaki itu bersama teman wanitanya itu pulang ke rumah sewa tersebut.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dera tersebut, sementara kedua-dua mangsa dibawa menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk rawatan lanjut sebelum mereka dibenarkan pulang,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan polis mendapati suspek sebelum ini mempunyai tujuh rekod lampau iaitu empat daripadanya kes jenayah manakala tiga daripada kes itu melibatkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Kisah selanjutnya di sini

No comments:

Post a Comment