Monday 7 October 2013

777 individu ditahan di P.Pinang

GEORGETOWN - Polis menahan 777 individu di seluruh Pulau Pinang menerusi Ops Cantas Khas sejak pelancarannya pada 17 Ogos sehingga kini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mereka merupakan sebahagian daripada 6,616 individu yang diperiksa dalam tempoh berkenaan.

"Daripada 777 individu yang ditahan, sebanyak 143 individu ditahan kerana dipercayai anggota kongsi gelap yang terlibat dengan aktiviti gengsterisme di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lima individu dikenakan tindakan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan lapan lagi dalam proses tindakan.

"Kita juga tahan beberapa individu di bawah Akta Pertubuhan 1966 membabitkan anggota kongsi gelap, dan ada yang ditahan atas kesalahan pelbagai jenayah," katanya.

Abdul Rahim berkata polis membuka 87 kertas siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Beliau juga berkata pihak polis masih memburu anggota kumpulan kongsi gelap yang aktif dalam aktiviti jenayah di negeri ini.

"Dengan adanya Ops Cantas, jumlah kegiatan jenayah di negeri ini berjaya dikawal dan kadar jenayah untuk bulan ini hanya meningkat 2.25 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Katanya, peningkatan kadar jenayah itu dilihat rendah berbanding awal Januari lepas yang menyaksikan kadar jenayah meningkat sebanyak 20 peratus.

- Bernama

No comments:

Post a Comment