Wednesday, 23 October 2013

Antara sebab senjata polis hilang: Hilang dalam tandas

Hilang dalam tandas antara punca senjata hilang - Zahid

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyenaraikan lima sebab utama kehilangan senjata api anggota polis seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, awal bulan ini.

Sebab-sebab tersebut bagaimanapun tidak menyatakan ‘jatuh dalam laut’ sebagai antara punca senjata-senjata itu hilang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan bertulis kepada anggota Parlimen PKR-Batu Tian Chua berkata sebab utama kehilangan ialah kereta polis dipecah, senjata api tertinggal dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir ketika menjalan tugas, kehilangan dalam tandas dan hilang dalam pejabat.

Beliau menjelaskan, secara keseluruhan senjata yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan revolver) yang boleh diletakkan di badan.

"Daripada 44 senjata api yang hilang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, tujuh daripadanya telah dijumpai," kata Ahmad Zahid.

Ekoran itu, katanya satu Jawatankuasa Penyiasat dibawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk menyiasat kehilangan tersebut dibawah Seksyen 79 Akta Polis 1967.

Katanya hasil siasatan tersebut akan dinilai bagi menentukan tindakan yang patut diambil jika terdapat bukti wujudnya kecuaian.

Menurutnya, pegawai yang bertanggungjawab akan diambil tindakan surcaj atau tatatertib atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Zahid menjawab soalan daripada Tian yang bertanya tentang prosedur yang perlu diambil polis dalam kes tersebut serta jumlah senjata api yang hilang sejak lima tahun lalu.

Zahid menambah, bahagian teknologi maklumat (IT) PDRM sedang menyediakan satu sistem yang mengandungi sub-modul bagi pemantauan dan rekod kes kehilangan aset PDRM yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada November depan.

Sementara itu, Tian ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen mempersoalkan lima punca terbabit yang disifatkannya sebagai ‘kecuaian sewenang-wenangnya’ dan menggesa agar langkah yang lebih profesional bagi mengawal senjata api dilaksanakan PDRM.


Astro Awani

No comments:

Post a Comment