Sunday 10 May 2015

MH179 berpatah balik sebab 'penumpang bermasalah'

PENERBANGAN MH179 berlegar lebih dua jam di Selat Melaka sebelum kembali mendarat di KLIA. - Foto ihsan Flight Radar 24

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan pesawat MH179 yang dalam penerbangan ke Colombo, Sri Lanka berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi berikutan "penumpang bermasalah". 

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, berkata pesawat itu tidak mengalami masalah teknikal dan semua penumpang selamat. 

"MAS maklumkan ia berpunca daripada 'penumpang bermasalah'. Tiada masalah teknikal," katanya ketika dihubungi BH di sini sebentar tadi tetapi tidak menyatakan jenis masalah dicetuskan penumpang berkenaan. 

Laman web penjejak penerbangan "Flightradar24" dalam mesej twitter pada 1.30 pagi tadi berkata pesawat terbabit berpatah balik ke KLIA selepas membuang bahan api selama dua jam di perairan Selat Melaka untuk mengurangkan berat pesawat, sebelum mendarat.

Pesawat terbabit yang berlepas dari KLIA jam 11.27 malam dijadualkan tiba di Colombo pada 12.18 tengah malam waktu tempatan. 

Insiden patah balik itu tersebar dengan cepat dalam media sosial khususnya mengenai punca pesawat itu terpaksa berpatah balik selepas dua jam berlegar di Selat Melaka. 

Sementara itu, MAS dalam kenyataannya memaklumkan penumpang terbabit menimbulkan masalah kepada krew sebaik pesawat berlepas.

"Penumpang lain juga terpaksa membantu krew untuk menangani penumpang bermasalah itu kerana badannya yang besar.

MAS berkata kapten pesawat membuat keputusan berpatah balik bagi memastikan keselamatan semua penumpang.

"Sebaik tiba di KLIA, penumpang bermasalah itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa," kata MAS menjelaskan pesawat MH179D berlepas ke Colombo pada 10.06 pagi tadi.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment