Sunday 10 May 2015

Sudah lima kali tulang patah

Mimi Amisya mengalami tulang patah untuk kali kelima baru-baru ini.

KUANTAN - Penghidap penyakit osteoporosis, Mimi Amisya Baharum, 11, kini berdepan dengan tulang patah buat kali kelima sejak disahkan mengidap penyakit itu ketika berusia dua tahun.

Ibunya, Laizatul Akma Ahmad Zawayan, 45, berkata, keadaan anak ketiga daripada empat adik-beradik itu semakin membimbangkan.

Menurutnya, keadaan kesihatan Mimi juga semakin terganggu sejak akhir-akhir ini seperti demam dan batuk berpanjangan.

“Dia baru sahaja menjalani pembedahan kerana tulang di bahagian kaki patah. Dia akan mengalami keadaan sebegitu secara berterusan disebabkan penyakit yang dialami.

“Buat masa ini, dia masih bergantung pada kerusi roda untuk bergerak terutama di sekolah,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Hadir sama, Adun Semambu, Lee Chean Chung.

Laizatul Akma berkata, dia perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap keperluan Mimi memandangkan dia sukar bergerak sejak mengalami patah yang terbaru.

Katanya, dia juga perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan untuk mengetahui perkembangan penyakit Mimi.

“Walaupun harapan untuk sembuh tipis, namun saya dan suami sentiasa berusaha mengubatinya.

“Setakat ini, dia perlu mendapatkan suntikan sebanyak empat kali setahun bagi memastikan tulangnya tidak cepat rapuh,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan kisah Mimi Amisya yang mengalami masalah tumbesaran akibat penyakit yang dialami.

Mimi tidak boleh berjalan kerana kakinya tidak mampu menampung berat badan selain gigi cepat patah.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment