Thursday, 2 July 2015

Pengerusi, CEO Mara direhat sementara

Annuar Musa

KUALA LUMPUR - Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Halim A Rahim direhatkan daripada tugas buat sementara bagi membantu siasatan berhubung kontroversi pembelian aset Dudley International House di Melbourne, Australia. 

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu yang dicapai dalam mesyuarat khas majlis Mara, berkuatkuasa serta merta bagi menjaga integriti Mara selain membolehkan siasatan dijalankan dengan telus.

"Ini tidak semestinya bermakna kita telah temui apa-apa kesalahan terhadap mereka berdua. 

"Mereka dilepaskan sementara daripada tugas bagi membolehkan urusan siasatan dijalankan tanpa sebarang gangguan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat di Ibu Pejabat Mara di sini, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat turut membincangkan secara terperinci mengenai isu tatacara perolehan dan perundingan sebelum aset tersebut dimiliki. 

Katanya, semua pegawai tertinggi Mara Inc. termasuk pengerusi dan lembaga pengarahnya telah dipanggil untuk memberikan penjelasan.

"Majlis Mara mendapati ada keraguan yang munasabah mengenai banyak perkara dalam urusan pembelian ini," kata beliau. 

Justeru katanya, Mara telah melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mengendalikan urusan pengauditan lebih mendalam isu berkaitan dengan semua perolehan aset Mara Inc Sdn Bhd yang dibeli di luar negara. 

"Berdasarkan kepada laporan interim audit dalaman Mara dan beberapa penjelasan dan ulasan yang diberikan Mara Inc, kita dapati ada beberapa perkara dari segi tadbir urus untuk kita siasat lebih lanjut," katanya.

Katanya proses audit itu dijangka bermula serta merta dan hasil pengauditan dapat diketahui tidak lama lagi. 

Annuar berkata, Mara juga memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada pihak penyiasat, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis. 

Katanya, walaupun pihak polis mengatakan tidak terdapat unsur pecah amanah dalam kes ini, beliau mahu kes itu disiasat polis sekali lagi. 

"Adalah perlu saya bertemu dengan PDRM untuk memberi sedikit maklum balas supaya PDRM mempunyai gambaran yang lebih jelas dan jika perlu, kita mahu perkara ini diteliti sekali lagi dengan lebih mendalam oleh PDRM," katanya.

Sayap pelaburan Mara itu terjebak dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age yang mendakwa ia telah membeli bangunan lima tingkat itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. 

Pada masa ini, Mara Inc mempunyai aset bernilai RM600 juta di Australia dan United Kingdom.

- Sumber:  Bernama

No comments:

Post a Comment