Jennifer Garner (kiri) bersama Ben Affleck di saat bahagia.
LOS ANGELES: Spekulasi kegoyahan ru mah tangga Ben Affleck, 42, dan Jennifer Garner, 43, berakhir apabila mereka mengumumkan akan bercerai dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Pasangan itu memaklumkan sudah membuat pertimbangan secara matang sebelum mengambil buat keputusan untuk berpisah selain akan terus bersahabat demi tiga anak mereka.
"Selepas berfikir panjang dan mempertimbangkan banyak perkara, kami membuat keputusan yang sukar iaitu bercerai tetapi akan terus mencintai serta kekal menjadi teman. Kami juga bergilir mengasuh anak kami.
"Dalam keadaan sukar ini, kami berharap anda semua menghormati hak peribadi kami. Terima kasih di atas pengertian anda," kata mereka dalam kenyataan yang diedarkan jurucakap masing-masing.
Terdahulu, pelbagai desas-desus muncul selepas pasangan terbabit dikatakan kerap bertengkar serta dilihat menemui kaunselor perkahwinan sejak beberapa bulan lalu.
Menerusi perkahwinan yang memasuki tahun ke-10 itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Violet, 9, Seraphina, 6 serta seorang anak lelaki, Samuel, 3.
Walaupun gosip perceraian semakin diperkatakan ramai, akhir Mei lalu pasangan yang mendapat gelaran BenJen itu dilihat sempat menghabiskan masa seisi keluarga dengan keluar makan.
Kisah cinta pasangan terbabit mula dihidu apabila bintang Gone Girl itu membawa Jennifer ke pertandingan Siri Dunia Boston Red Sox pada Oktober 2004 dan melamar pelakon Alias itu bertepatan hari jadi Jennifer yang ke-33.
Asalnya hubungan mereka mula intim selepas digandingkan dalam filem Daredevil, setahun sebelumnya.
Enam bulan selepas lamaran, mereka melangsungkan perkahwinan di Kepulauan Turs dan Caicos, United Kingdom pada 29 Jun 2005.
Ironinya, pengumuman berkenaan dilakukan sehari selepas ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.
- Sumber: BH online
No comments:
Post a Comment