MENGHASILKAN gambar berkualiti dengan hanya menggunakan telefon pintar kini bukan lagi satu perkara yang mustahil.
Kebanjiran pelbagai telefon pintar dengan kualiti dan teknologi kameranya sudah cukup memberikan satu kepuasan dalam mengambil gambar.
Tetapi bagi pengguna yang masih tidak puas kerana ingin merasakan mengambil gambar seperti menggunakan DSLR, Olympus AIR A01 mungkin jalan penyelesaian yang terbaik.
Air A01 adalah lensa tambahan yang boleh digunakan di telefon pintar menjadikan gambar anda lebih berkualiti selain merasai mengambil gambar seperti memegang sebuah kamera DSLR.
Lensa kamera ini mempunyai fungsi yang sama seperti QX1 milik Sony tapi sebagai tambahan, lensa kamera ini diperkenalkan dengan rekaan yang lebih kecil.
Di dalamnya, lensa kamera ini menggunakan sensor 16MP serta dilengkapi dengan pemproses imej TruePic VII. Teknologi ini sama seperti yang ditemui pada kamera OM-D dan PEN.
Lensa kamera ini memberikan kualiti yang setara dengan kamera DSLR menjadikan sebuah telefon pintar dapat menangkap gambar dengan kelajuan 10 bingkai sesaat.
Tidak hanya itu, lensa kamera ini juga boleh digunakan untuk merakam video Full HD dan menghasilkan gambar RAW.
Caranya mudah saja untuk menggunakan lensa tambahan ini. Pengguna hanya perlu meletakkan kamera di belakang lensa sebelum menghubungkan lensa dan kamera menggunakan sambungan WIFI atau Bluetooth.
Malah lensa ini boleh digunakan berasingan, anda boleh mengambil gambar 'selfie' sambil menggunakan telefon pintar sebagai skrin untuk melihat gambar yang ingin diambil.
Lensa kamera ini ditawarkan dengan harga AS$300 (RM1,130) dan sebagai perbandingan, lensa kamera ini lebih mahal dari Sony QX1 yang dijual dengan harga sekitar AS$200 (RM753).
- Sumber: BH online
No comments:
Post a Comment