AKTRES Datin Umie Aida. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
KUALA LUMPUR : Aktres Datin Umie Aida sememangnya dikenali sebagai seorang pelakon yang bersifat selektif bagi setiap karya yang ditawarkan kepadanya.
Walaupun mengakui hakikat berkenaan, Umie menafikan dakwaan mengatakan beliau hanya berlakon di bawah arahan kakaknya, Erma Fatima.
"Seperti semua sedia maklum, saya memang selektif untuk menerima sebarang karya yang ditawarkan kepada saya. Bagi saya setiap pelakon perlu memilih tawaran yang bersesuaian dengan kemampuan diri.
"Namun, ini tidak bermakna saya hanya menerima tawaran yang diberikan oleh Erma. Saya ada juga menerima tawaran pihak lain.
"Buat masa ini saya memang kurang aktif dalam bidang lakonan namun tidak bermakna saya tidak lagi minat berlakon. Ia jiwa saya sejak dulu lagi," katanya kepada BH Online.
Umie juga baru saja selesai penggambaran drama lapan episod arahan Erma yang berjudul Mok Cun. Drama itu membariskan pelakon hebat seperti Datuk Rahim Razali, Nora Danish, Betty Rahmad dan Puteri Balqis.
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil itu menjelaskan beliau mempunyai pendirian tersendiri dalam bidang lakonan.
"Kalau saya suka dengan watak itu, saya akan buat. Kalau tak, memang saya akan tolak dan terus terang cakap tak boleh buat. Sebab itu juga sebelum menerima tawaran berlakon, saya lebih gemar meneliti skrip. Saya berlaku jujur dalam lakonan yang akan dibuat.
"Lakonan sudah sebati dalam hidup saya. Ia bukan sekadar mengisi masa lapang. Cuma prinsip kini, saya akan berlakon apabila jatuh cinta dengan watak yang akan dibawakan. Perasaan itu akan datang apabila saya membaca skrip.
"Drama Mok Cun bakal bersiaran pada bulan Ramadan ini di saluran televisyen TV3. Saya membawakan watak Zennat Manisa dalam drama komedi itu," katanya.
Umie kini aktif bermain badminton dan meluangkan masa dua atau tiga kali seminggu untuk bermain bersama kawan-kawan.
"Alhamdulillah kehidupan peribadi semuanya baik-baik saja yang mana dua orang anak lelaki saya sudah pun bergelar anak teruna dan membesar depan mata," katanya.
- Sumber: BH Online
No comments:
Post a Comment