Wang Xia dipimpin untuk memasuki dewan peperiksaan.
SHANGHAI - CHINA. Seorang warga emas berusia 86 tahun tidak pernah mengenal erti putus asa untuk menduduki satu peperiksaan di negara itu walaupun pernah gagal sebanyak 14 kali.
Wang Xia, menduduki peperiksaan gaokao 2015 iaitu peperiksaan untuk masuk ke universiti dan dianggap paling sukar di China, Ahad dan Isnin lalu.
Wang Xia yang menamatkan pengajian sekolah tinggi pada tahun 1949 menduduki peperiksaan gaokao buat kali pertama pada tahun 1954.
Walaupun tidak lulus, namun dia tidak pernah berputus asa dan kemudian mengambil semula peperiksaan itu sebayak 3 kali iaitu pada tahun 1955,1956,1960.
Selepas gagal sebanyak empat kali, dia mengambil keputusan untuk tidak menduduki peperiksaan itu lagi dan meneruskan kerjayanya sebagai ahli farmasi.
Pada tahun 1966 hingga 1979, kerajaan China kemudiannya melancarkan Cultural Revolution di mana pihak universiti menghentikan pengambilan pelajar melalui sistem peperiksaan.
Namun pada tahun 1977, peperiksaan gaokao diperkenalkan semula namun calon yang layak mengambilnya hanyalah di bawah 25 tahun dan tidak berkahwin.
Kerajaan China kemudiannya melonggarkan syarat untuk tiada had umur pada tahun 2001 dan ketika usia 72 tahun, Xia sekali lagi mencuba nasib menduduki peperiksaan itu.
Selepas gagal sekali lagi pada tahun 2002, semangat dan kesungguhannya itu mendapat perhatian media di China dan berikutan itu Nanjing Medical University menawarkannya untuk menyambung pelajaran di universiti berkenaan selama lima tahun, namun Xia menolaknya.
Memetik laporan Chinanews, Xia berkata, walaupun sudah bekerja dalam bidang famasi lebih dari 40 tahun, namun dia masih berkeinginan untuk memperoleh diploma bagi membuktikan kemahiran perubatannya.
"Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan gaokao 2015, walaupun pernah gagal sebanyak 14 kali," katanya ketika ditemui sebelum menduduki peperiksaan itu.
Tahun lepas, seorang warga emas 73 tahun turut menduduki peperiksaan ini selepas pernah menduduki peperiksaan sama 40 tahun lalu.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment