IMPIAN untuk menamatkan kemarau pingat emas selama 12 tahun dalam acara 200m lelaki tidak kesampaian apabila dua wakil negara iaitu Izzuddin Yahya dan G. Aravinn Thevarr sekadar meraih tempat keempat dan kelima dalam acara olahraga pada Sukan SEA ke-28 di Stadium Nasional Singapura, hari ini.
Mohd Izzuddin terlepas peluang untuk mendapat pingat gangsa apabila terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 21.20s, manakala Aravinn Thevarr hanya mampu berada di tempat kelima dengan catatan 21.33s.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir merangkul emas dalam acara tersebut ialah menerusi Nazmizan Mohamed (21.05s) pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.
Pingat emas dimenangi oleh Le Trong Hin dari Vietnam dengan catatan masa 20.89s manakala pingat perak dan gangsa masing-masing diraih atlet Thailand, Sathoengram Jaran (21.05s) serta Meenapra Jirapong dengan masa 21.05s.
Mohd Izzuddin berkata beliau menerima saingan sengit pada aksi final.
"Saya tetap berpuas hati dengan persembahan ini walaupun terlepas pingat gangsa kerana berjaya mengatasi rekod peribadi terbaik 10.48s yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka Malaysia, Mac lepas," katanya.
Katanya beliau telah berusaha dengan bersungguh-sungguh namun nasib tidak menyebelahinya.
"Mungkin tiada rezeki saya untuk mendapatkan pingat buat negara namun ini bukan kesudahannya kerana saya akan terus memberikan cabaran selepas ini.
"Saya juga berterima kasih kepada jurulatih saya, Nazmizan Mohamed yang telah menaikan semangat saya selepas kecewa pada aksi 100m sebelum ini)," katanya.
Dalam saingan 200m wanita, atlet negara, Zaidatul Husniah Zulkifli turut kecundang apabila hanya mampu menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan masa 24.18s.
Acara tersebut dimenangi oleh pelari tuan rumah, Veronica Shanti Pereira dengan masa 23.60s diikuti Kayla Anise Richardson dari Filipina dengan masa 23.71s dan gangsa milik atlet Vietnam, Thi Oanh Nguyen dengan catatan 23.92s.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment