Wednesday 10 June 2015

Kau Yang Satu ada tarikan tersendiri

Pelakon dalam filem Kau Yang Satu.

Pelakon dalam filem adaptasi Kaiu Yang Satu.

Antara babak dalam filem adaptasi novel Kau Yang Satu.

MENJADI tren kini, filem adaptasi novel ke drama atau filem masih dianggap hangat dalam dunia hiburan tanah air dan mendapat sambutan membrangsangkan dari penonton.

Tambahan, sering juga pengarah terkenal Osman Ali dilabel sebagai pengarah bagi konsep adaptasi, ekoran penghasilan filem adaptasi Ombak rindu dan Manisnya Cinta yang sekali gus mendapat sambutan hangat peminat novel ini untuk menyaksikan kelainan apabila difilemkan.

Menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan, sekali lagi filem arahan pengarah kelahiran Langkawi ini akan menemui peminat terutama pembaca novel Kau Yang Satu terbitan Alaf21 Sdn Bhd di layar perak.

Sebagai pengarah yang mempunyai pengalaman membikin filem adaptasi novel, Osman mengakui penerimaannya untuk memfilemkan novel ini berikutan melihat jalan cerita yang mempunyai tarikannya yang tersendiri.

"Sebenarnya perancangan awalnya, novel Kau Yang Satu mahu diadaptasi untuk telefilem. Tiga tahun lalu pihak Global Station menawarkan kepada saya tujuh novel untuk diangkat sebagai telefilem.

"Saya diberi kelonggaran untuk memilih sendiri novel yang saya mahu arahkan. Daripada semua sinopsis novel yang diberikan kepada saya, saya lihat sinopsis Kau Yang Satu ada penceritaan menarik dan tarikan tersendiri seterusnya dipilih untuk dijadikan telefilem ketika itu.

"Namun apabila kami berbincang, pihak Global tergerak hati untuk menjadikan adaptasi novel itu kepada filem. Mereka sekali lagi memberikan saya dua tajuk novel untuk difilemkan iaitu Manisnya Cinta dan Kau Yang Satu," katanya ketika dihubungi Zass, semalam.

Namun impian untuk memfilemkan novel itu, tertangguh seketika apabila Osman terikat dengan komitmen lain yang perlu diselesaikan.

"Oleh itu, filem Manisnya Cinta saya jalankan dulu, dan Kau Yang Satu tidak sempat untuk penggambaran ketika itu.

“Tetapi, alhamdulillah akhirnya awal tahun ini kami berjaya memulakan penggambaran filem Kau Yang Satu di beberapa lokasi menarik antaranya Kuala Lumpur, Pahang dan New Zealand," katanya.

Sebagai pengarah, walaupun dianggap lumrah untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun ia satu pengalaman yang perlu dilalui dengan penuh matang.

Begitulah yang dilalui pengarah ini apabila, mahu memberikan satu kelainan pada pengarahannya untuk filem tersebut agar tidak sama dengan drama atau filem lain.

"Saya serahkan tanggungjawab awal penulis awal skrip filem itu kepada Rozie Rashid, dan dia yang mengubah novel kepada skrip filem. Tetapi saya risau kerana ketika bersetuju untuk adaptasi novel ini tiga tahun lalu, kini semuanya sudah berubah.

"Oleh itu saya pastikan filem ini ada perbezaan daripada benda lain terutama keluarkan dari persamaan termasuk segi penceritaan yang ada berkaitan isu perkahwinan dan keterpaksaan.

Osman ini juga terlibat dsebagai pengarah filem Langit Cinta yang akan menemui penonton November ini memberitahu, mahukan kelainan dalam penceritaan walaupun cinta merupakan genre paling popular dalam penulisan novel.

"Jadi saya berikan satu cerita berbeza, genre cinta adalah yang paling popular jadi perlukan persembahan yang berbeza agar berasa kepuasan.

"Saya mahu penonton puas hati dengan cerita ini. Apa saya lakukan lagi untuk memberi tarikan kepada penonton adalah cara sinematiknya,” katanya.

Satu penghargaan baginya

Sebagai pengarah, menerima tawaran daripada mana-mana pihak penerbit untuk menghasilkan sesuatu karya pastinya mendatangkan kesyukuran pada diri mereka.

Begitulah juga dirasai Osman apabila pihak penerbit Global Station Sdn Bhd memberi kepercayaan padanya untuk mengarahkan filem adaptasi novel tersebut.

"Saya gembira apabila Global tawarkan saya untuk mengarah filem adaptasi novel ini, saya rasa satu penghargaan.

"Semua wakil yang saya temui termasuk penerbitnya, Datin Zaiton Moh Jiwa memberi kerjasama yang baik kepada saya dan kami punyai keserasian yang sama.

"Mereka juga memahami apa yang saya perlukan untuk hasilkan filem ini. Mereka juga memahami dari segi bajet dan cara pembikinan filem yang kini berbeza daripada dahulu.

“Saya cuba kerja ikut kemampuan yang boleh saya berikan, begitu juga dengan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai kepercayaan tinggi yang diberikan pihak Global, Osman berkata, sememangnya setiap pembikinan filem dirinya tidak lari daripada hadapi tekanan.

"Memang setiap filem ada tekanan sendiri, tetapi bukanlah dari penerbit, tetapi lebih kepada sambutan penonton, komen pihak luar terhadap filem saya hasilkan.

"Saya buat sesuatu yang tidak kecewakan. Saya pastikan setiap naskhah saya hasilkan memenuhi cita rasa. Saya tak boleh buat cincai," katanya mengakhiri perbualan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment