Wednesday, 10 June 2015

Isu sarong: Anggota keselamatan bertanggungjawab dipindahkan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota keselamatan dikenal pasti bertanggungjawab mengarahkan seorang wanita menyarung kain batik semasa berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, anggota dari Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) itu sudah dipindahkan ke unit lain.

"Tindakan (arahan memakai kain batik) tidak dilakukan pegawai, sebaliknya dibuat anggota keselamatan Rela. Dia melakukan perkara itu atas kapasiti peribadi, kami hanya melakukan konsep sekular yang melibatkan etika berpakaian semasa berada di pejabat kerajaan," jelas beliau semasa sidang media selepas merasmikan Global Airport Development (GAD) Asia 2015 di sebuah hotel di sini. 

Tegasnya, agensi kerajaan itu tidak pernah mengambil tindakan seumpama itu sebelum ini walaupun etika pemakaian di pejabat kerajaan telah diwujudkan sekian lama.

"Jadi, setakat ini kami tidak pernah mengambil tindakan drastik. Jadi, anggota keselamatan itu telah dipindahkan ke unit lain.

"Dia bertindak demikian atas inisiatif sendiri dan kami tidak pernah melakukan perkara sedemikian," jelas beliau lagi.

Justeru katanya, kejadian itu amat dikesali dan sekali lagi memohon maaf kepada wanita berkenaan.

"Kami memohon maaf kepada Puan Tan atas kejadian itu," tambahnya.

Gambar wanita berkenaan sebelum ini viral di media sosial selepas diarahkan memakai kain batik di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di cawangan Wilayah.

JPJ bagaimanapun telah memohon maaf atas insiden berkenaan.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment