Wednesday 10 June 2015

Polis tahan empat anggota 'Geng Racun'

Gambar hiasan

MELAKA - Polis Melaka semalam menahan empat lelaki warga tempatan anggota 'Geng Racun' yang dipercayai terlibat dalam jenayah samun dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah antaranya di kawasan tarikan pelancong Melaka Raya dan Jonker Walk di sini sejak awal Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kesemua mereka ditahan dalam dua tangkapan berasingan di sekitar Bukit Rambai di sini.

Beliau berkata tangkapan pertama di kawasan Bukit Rambai di sini kira-kira 5 petang semalam melibatkan ketua geng tersebut berusia 26 tahun berasal dari Bukit Rambai dan rakannya berusia 36 tahun dari Limbongan di sini.

"Tangkapan kedua pula melibatkan dua anggota geng tersebut berusia 24 dan 36 tahun di dua rumah berasingan di kawasan Bukit Rambai lima jam kemudian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, dua daripada mereka disyaki melakukan samun dan ragut manakala dua lagi rakan mereka ditahan kerana memiliki dan melupuskan hasil jenayah tersebut.

Mengulas lanjut, Shaikh Abdul Adzis berkata, polis merampas sebuah motosikal, dua buah telefon bimbit, dan sebotol penyembur lada hitam dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut.

Beliau berkata, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes samun dan ragut di sekitar Melaka Tengah sejak awal Mei lepas dengan penangkapan empat anggota geng berkenaan.

Katanya, hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ketua geng tersebut mempunyai rekod lampau melibatkan ugutan jenayah.

Dalam perkembangan lain, Shaikh Abdul Adzis berkata kes ragut di daerah Melaka Tengah mencatatkan penurunan dengan jumlah kes sebanyak 243 antara Januari hingga bulan lepas berbanding 504 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata penurunan itu menunjukkan usaha gigih polis membanteras jenayah ragut di daerah berkenaan yang merupakan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Ops Payung turut dilaksanakan di sekitar lokasi panas di Jonker Walk dan Melaka Raya bagi memastikan kawasan tersebut selamat daripada jenayah ragut," katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment