"Jadi kita tahu siapa dia (Yassin). Biarlah kita jalankan siasatan dengan lebih dalam berkenaan itu,- jelas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
KUALA LUMPUR: Polis berjaya mengenalpasti identiti agen sindiket penyeludupan manusia yang menjadi dalang dalam kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam masa sama memaklumkan, polis kini masih menjalankan siasatan terhadap individu yang dikenali sebagai ‘Yassin’ itu sebelum suspek terbabit dibawa ke muka pengadilan.
“Untuk makluman semua, dalam kalangan rakyat Rohingya, nama Yassin tu nama biasa, macam Aung tu bukan Muslim, yang muslim ni Yassin.
“Jadi kita tahu siapa dia (Yassin). Biarlah kita jalankan siasatan dengan lebih dalam berkenaan itu,” jelasnya.
Khalid turut memberitahu, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dengan jenayah pemerdagangan dan penyeludupan manusia.
Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah, Mohd. Noor Abu Bakar sebelum ini mendakwa, beberapa penjenayah yang menjadi ejen sindiket terbabit menggunakan nama 'Yassin' sebagai nama samaran dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Khalid ditemui dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai-Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman pada Selasa.
Majlis berkenaan juga menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dengan pelantikan pengarah barunya Datuk Jamshah Mustapa yang sebelum ini dipangku Datuk Abdul Ghafar Rajab.
Mengulas mengenai penglibatan anggota penguatkuasa tempatan dalam aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia, Khalid bertegas tiada kompromi bagi menghukum pesalah terbabit.
"Saya dah sebut sebelum ni, kita tidak akan berkompromi, kita tidak akan membiarkan ahli-ahli badan penguatkuasa yang terlibat, kita tidak akan membiarkan (mereka). Biarlah kita kumpul bukti-bukti dulu dan jalankan siasatan... kita akan siasat,” ujarnya.
Khalid sebelum ini tidak menolak kemungkinan pembabitan anggota keselamatan negara termasuk anggota polis dalam sindiket penyeludupan manusia yang bertanggungjawab atas kematian pendatang pelarian yang ditemui dalam kubur besar di Wang Kelian.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment