Tuesday 2 June 2015

Kahwini Stacy, Akim mula kumpul aset

Stacy & Akim

KISAH percintaan antara dua bekas pelajar Akademi Fantasia, Akim Ahmad dan juga Stacy bukan rahsia lagi.

Biarpun cuba merahsiakan kisah percintaan mereka pada awalnya, namun kedua-dua penyanyi ini akhirnya bersikap terbuka berkongsi kisah mereka termasuk kesediaan mereka melangkah setapak lagi ke alam perkahwinan.

Bagaimanapun akui Akim, dia belum meletakkan sasaran bilakah akan menamatkan zaman bujang. Namun ada merancang untuk membeli rumah terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga.

"Sejujurnya saya sendiri pun belum bersedia untuk berkahwin. Lagipun bila hidup berkeluarga, banyak perkara yang perlu kita bataskan. Jadi sebab itu saya tidak bersedia kerana masih ada banyak keinginan lagi yang ingin saya penuhi.

"Malah kalau mahu mendirikan rumah tangga banyak perkara yang perlu kita lakukan. Kalau ada rezeki, saya mahu membeli sebuah rumah terlebih dahulu. Dapat rumah kecil pun tak apa yang penting, dapat berteduh bersama keluarga," katanya ketika ditemui media semasa majlis perasmian Sinari Kemuliaan Ramadhan Bersama Yeo’s, baru-baru ini.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap perhubungan mereka, Akim berkata, kedua-dua buah keluarga sudah merestui perhubungan mereka.

"Dia (Stacy) sudah makin hampir ke arah itu (untuk memeluk agama Islam). Insya-ALLAH, untuk mendidik tidak ada masalah sebab kita pun ketua keluarga. Ilmu yang diberikan oleh ibu bapa saya itu cukup lengkap dan tahu akan batas-batasnya, yang penting niat kita sendiri," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Akim bersama kumpulannya Akim & The Majistret dalam proses mengeluarkan album terbaharu bertajuk Patriot pada tahun ini.

Sementara itu, berkongsi mengenai Sinari Kemulian Ramadan Bersama Yeo’s Beramal Bersama Bintang & Menang Duit Raya, seluruh warga Malaysia bersama bintang-bintang terkenal akan melakukan kerja amal dengan memberi sumbangan kepada golongan memerlukan dengan pembelian produk air minum kotak Yeo’s.

Resit hasil daripada pembelian harus disertakan dan penyertaan perlu dilakukan melalui aplikasi WeChat untuk memenangi hadiah bernilai RM300,000.

Kempen berkenaan bermula pada Khamis ini sehingga 5 Julai depan

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment