Tuesday, 2 June 2015

Kapal China karam, lebih 400 penumpang dikhuatiri lemas

Pasukan mencari dan menyelamat berhadapan angin kencang dan hujan lebat. -CHINA OUT AFP PHOTO

YANGTZE: Sebuah kapal, yang membawa lebih 450 penumpang, karam di Sungai Yangtze di tengah China pada Isnin.

Usaha menyelamat dikerah namun operasinya terjejas akibat angin kencang dan hujan lebat, lapor media kerajaan tempatan.

Kapal malang itu, Dongfangzhixing telah belayar dari Nanjing ke Chongqing apabila ia tenggelam di bahagian Jianli di wilayah Hubei di sungai berkenaan pada petang Isnin, lapor Xinhua.

Punca kejadian masih belum dapat dipastikan, tetapi agensi berita CCTVberkata ia merupakan satu kemalangan.

Lapan orang berjaya diselamatkan termasuk kapten dan ketua jurutera.

Menurut mereka, kapal tersebut telah terperangkap dalam "taufan" yang dahsyat.

Terdapat 458 orang di atas kapal ketika ia tenggelam pada jam 9.28 malam waktu tempatan (1328 GMT), termasuk 406 penumpang dari China, lima pekerja agensi pelancongan dan 47 anak kapal.

Menurut CCTV, kapal yang dimiliki firma pelancongan yang beroperasi di Empangan Three Gorges itu mampu membawa sehingga 534 orang.

Agensi berita Xinhua berkata, Presiden China Xi Jinping mengeluarkan perintah untuk meneruskan usaha menyelamat, manakala Perdana Menteri Li Keqiang mengarahkan satu pasukan kerja daripada pihak kerajaan untuk menyelaraskan usaha mencari dan menyelamat.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment