METMALAYSIA: Penduduk Malaysia tidak perlu risau kerana letusan gunung berapi Sinabung tidak akan sampai ke Malaysia berdasarkan arah tiupan angin paras rendah yang lemah dan berbagai hala. - Foto AFP
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak perlu risau tentang keselamatan mereka berikutan letusan kuat gunung berapi Sinabung di barat Indonesia semalam.
Pegawai Meteorologi Bahagian Khidmat Korporat dan Komersil Jabatan Meteorologi Malaysia, Ambun Dindang berkata, letusan gunung tersebut tidak akan sampai ke negara ini berdasarkan arah tiupan angin paras yang lemah dan berbagai hala.
Menurut Ambun, letusan gunung berapi tersebut juga tidak memberikan kesan terhadap penerbangan di Malaysia buat ketika ini.
"Kedudukan gunung berapi itu jauh, dan tiupan angin di paras tinggi iaitu paras penerbangan dari gunung itu juga tidak menuju ke ruangan udara Malaysia untuk tempoh beberapa hari akan datang.
"Bagi perjalanan yang melalui kawasan letusan tersebut, pihak syarikat penerbangan akan mengambil maklum perkara ini melalui pejabat meteorologi Kuala Lumpur International Airport (KLIA) untuk mereka merancang laluan penerbangan masing-masing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Pihak MetMalaysia terutamanya di KLIA akan memantau kesan letusan setiap masa untuk pergerakan debu dan kesannya untuk penerbangan.
Sebelum ini, agensi AP melaporkan, satu letusan kuat telah berlaku dan berpunca dari gunung berapi di kawasan berkenaan dan mengeluarkan kepulan asap yang mengandungi kandungan gas yang tinggi.
Berikutan kejadian itu, abu-abu panas jatuh ke cerun gunung sehingga 2.5 kilometer dari kawah. Pihak berkuasa di kawasan tersebut juga telah menggesa penduduk tempatan untuk berpindah dari petempatan mereka.
"Peningkatan saiz kubah lava yang semakin meningkat menunjukkan gunung berapi itu berada dalam keadaan yang sangat tidak stabil," kata ahli geologi Indonesia, Surono.
Menurut laporan agensi itu juga, setakat semalam tiada kecederaan dilaporkan.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment