Thursday 11 June 2015

1MDB: 'Saya mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Weng Aik' - Reezal

REEZAL: 1MDB: 'Saya mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Weng Aik'

KUALA LUMPUR: Pengerusi Amanah Raya Berhad (ARB), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menafikan dakwaan Ahli Parlimen DAP Tanjong, Ng Wei Aik yang menuduhnya memberikan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .

Tegasnya, ia merupakan serangan politik berniat jahat dan tuduhan liar tanpa sebarang bukti atau asas kukuh.

"Saya meneliti dengan penuh minat tuduhan terbaru Wei Aik terhadap diri saya dan institusi yang saya diamanahkan sebagai Pengerusi iaitu ARB.

"Saya suka untuk memperincikan tuduhan liar yang dibuat, ARB meluluskan pinjaman sejumlah RM2bilion kepada 1MDB dan pinjaman ini diberikan selepas perlantikan saya sebagai Pengerusi ARB serta pinjaman tersebut juga diikat dengan faedah tahunan empat peratus dan dikategorikan sebagai "IOU Bill".

"Wei Aik, seperti yang dilaporkan, gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong tuduhan ini dan hanya menggunakan frasa 'sumber dalaman' sebagai sumber," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Reezal turut menafikan tidak ada sebarang pinjaman dengan amaun dan perjanjian yang dinyatakan berlaku di ARB seperti yang dituduh Wei Aik.

"Ianya sama sekali tidak pernah berlaku dan tidak pernah dibawa untuk mendapatkan kelulusan di bawah persetujuan keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah yang saya pengerusikan selama ini.

"Tuduhan Wei Aik sesungguhnya berniat jahat dan secara jelas ingin merosakkan kredibiliti, menjatuhkan maruah dan integriti saya sebagai individu mahupun ARB sebagai organisasi," jelasnya.

Oleh itu katanya, dia akan segera mengarahkan tindakan undang-undang diambil di atas kebiadapan dan serangan jahat Wei Aik.

"Fitnah ini tidak mungkin saya biarkan berlalu begitu sahaja kerana ianya melibatkan tuduhan palsu dan jahat untuk mencemarkan imej ARB dan maruah saya secara peribadi," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam satu kenyataan menafikan ia membuat pinjaman RM2 bilion daripada ARB.

"Dakwaan oleh anggota parlimen pembangkang bahawa 1MDB membuat pinjaman RM2 bilion daripada AmanahRaya Bhd adalah tidak benar.

"1MDB tidak mempunyai urusan kewangan, termasuk meminjam, dengan Amanah Raya Berhad," jelas Arul.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment