Thursday 25 June 2015

Dua lelaki maut ditembak ketika hantar kad kahwin

Kedua-dua mangsa ketika itu dalam perjalanan hendak menghantar kad undangan perkahwinan mangsa yang bekerja sebagai mekanik, namun tiba-tiba telah dihalang sebuah motosikal yang ditunggangi dua individu tidak dikenali. - .Gambar Fail

SERDANG: Dua lelaki maut ditembak ketika sedang menghantar kad undangan di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Serdang Jaya 2/20, Seri Kembangan, di sini Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Serdang Daerah ACP Razimi Ahmad berkata kejadian yang berlaku pada pukul 9.20 malam itu melibatkan seorang ejen insurans dan seorang mekanik kereta, kedua-duanya berumur 25 tahun.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal ketika itu dalam perjalanan hendak menghantar kad undangan perkahwinan mangsa yang bekerja sebagai mekanik, namun tiba-tiba telah dihalang sebuah motosikal yang ditunggangi dua individu tidak dikenali. 

"Suspek telah melepaskan sebanyak lima das tembakan jarak dekat ke arah kedua-dua mangsa.

"Mangsa pertama telah ditembak pada bahagian dada dengan dua das tembakan, manakala mangsa kedua telah ditembak di bahagian perut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Razimi berkata suspek yang berpakaian t-shirt hitam kemudian melarikan diri dan hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemukan lima kelongsong peluru berhampiran dengan motosikal mangsa.

"Suspek tidak dikenal pasti kerana memakai topi keledar berpenutup penuh. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya. 

Sementara itu, seorang rakan baik mangsa, M. Murali, 27, berkata hajat kawan baiknya untuk berkahwin pada 4 Julai ini tidak kesampaian akibat kejadian itu.

"Saya mengenali kedua-dua mangsa sebagai seorang yang peramah dan ramai kawan...saya tidak sangka bahawa mereka mempunyai musuh," katanya. 

Seorang lagi saksi kejadian iaitu pemilik sebuah kedai makan yang dikenali sebagai Chong, 37, berkata beliau terdengar beberapa das tembakan ketika sedang sibuk melayan pelanggan.

"Saya terlihat dua orang suspek melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arah mangsa namun tidak dapat melihat muka suspek kerana keadaan ketika itu gelap" katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment