Monday 25 May 2015

'Selfie' pertama di puncak Menara KL lebih mencabar


Foto Facebook Yusof.Ghani-- Gambar itu diambil Yusof pada 1996 selepas pembinaan Menara KL siap tetapi belum dibuka kepada umum.

KUALA LUMPUR: Gambar selfie ataupun wefie pertama di atas puncak Menara Kuala Lumpur yang dikongsi pekerja penyelenggara bangunan tinggi, Ropequest Sdn Bhd bukanlah yang pertama dilakukan.

Semalam, sekeping lagi gambar selfie di atas puncak Menara KL viral di media sosial adalah antara yang pertama diambil pada 1996.

Ada yang berasa gambar yang dikongsi wartawan foto, Yusof Ghani adalah gambar yang disunting ataupun palsu.

Namun ramai tidak sedar bahawa gambar itu benar-benar diambil dari puncak Menara KL pada 1996 dan pernah diterbitkan akhbar The Sun serta beberapa penerbitan lain.

Pada ketika itu, Yusof berkhidmat dengan akhbar The Sun.

“Sebelum saya memanjat ke puncak itu, saya kerap ke Menara KL untuk menerbitkan sebuah esei foto mengenai pembinaan menara itu. Kali pertama saya ke kawasan pembinaan Menara KL ialah pada 1993 semasa berkhidmat dengan akhbar The Star,” jelas Yusof.

“Saya berkongsi memuat naik gambar itu pada Facebook dan Instagram saya lebih kurang sebulan yang lalu. Secara kebetulan, ia menjadi viral selepas gambar terbaru selfie orang lain di atas puncak Menara KL turut menjadi viral” tambah Yusof.

Sebenarnya ada 13 orang yang menaiki puncak Menara KL itu untuk mengambil gambar potret diri (self-potrait) ataupun dikenali sebagai selfie pada ketika ini.

Gambar itu antara beberapa keping lagi gambar yang diambil Yusof ketika berada di puncak Menara KL itu.

“Salah seorang yang daripadanya adalah seorang pelagak ngeri yang dikenali sebagai ‘abang Shaharudin. Kalau tidak silap saya, wanita dalam gambar itu bernama Hasni, salah seorang kakitangan syarikat seni bina yang membuat reka bentuk menara itu,” jelas Yusof mengenai individu dalam gambar selfie di atas puncak Menara KL yang menjadi viral.

Yusof bagaimanapun terputus hubungan dengan semua orang yang berada di dalam gambar itu dan ingin bertemu semula dengan semua yang pernah berkhidmat dengannya.

Selepas gambar itu menjadi viral di Facebook, ramai yang memuji kemampuan Yusof mengambil gambar itu dengan menggunakan kamera SLR menggunakan filem 35mm yang agak besar dan berat.

Yusof tidak pasti jenama dan model kamera yang digunakan namun ingin berterima kasih kepada rakan sekerjanya Ricky Heng kerana meminjamkan kamera dan lensa 'fish eye' miliknya untuk mengambil gambar itu.

Seperti biasa, Yusof mematuhi langkah-langkah keselamatan untuk memanjat dan mengambil gambar di puncak menara itu.

Oleh itu, Yusof menasihati agar orang ramai mengambil penting aspek keselamatan dalam mengambil gambar selfie yang boleh membahayakan diri mereka.

“Ada yang mati ketika cuba melakukan selfie tetapi ia sama seperti pemandu yang tidak memakai tali pingang keledar. Kami menggunakan tali dengan abah-abah keselamatan semasa mengambil gambar ini sama seperti pemandu perlu memakai tali pinggang keledar untuk melindungi mereka jika berlaku kemalangan,” jelas Yusof mengenai aspek keselamatan yang ditekankan semasa mengambil gambar itu.

Yusof mengaitkan keselamatan yang perlu dititik beratkan semasa mengambil gambar itu dengan pengguna jalan raya kerana dia kini merupakan seorang penyelidik mengenai keselamatan jalan raya.

Dia percaya memandu secara merbahaya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya adalah lebih bahaya daripada mengambil selfie di puncak Menara KL.

Gambar selfie Yusof bersama 13 yang lain adalah antara gambar yang diambil Yusof semasa menjalankan projek dokumentasi pembinaan Menara KL.

Selepas menara itu siap dibina, pengarang The Sun membuat keputusan untuk menerbitkan gambar potret dirinya. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment