Monday 25 May 2015

Empat rentung dalam kemalangan lori dan kereta di LPT2


Akibat rempuhan lori berkenaan ,kereta yang dinaiki enam sekeluarga itu terseret kira kira 70 meter sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

KUALA TERENGGANU: Empat rentung manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Hulu Terengganu hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang di kilometer 386.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Ajil-Bukit Besi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Hussin Deraman berkata kemalangan berlaku selepas sebuah lori 10 tan tanpa muatan yang dipandu seorang lelaki dari Kuala Terengganu menuju ke Johor Bahru terbabas lalu merempuh kenderaan terbabit.

Akibat rempuhan lori berkenaan, kereta jenis Kia Spectra yang dinaiki enam sekeluarga itu terseret kira kira 70 meter sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Ketika kejadian pemandu berkenaan menghentikan kenderaannya di bahu jalan selepas keretanya mengalami kerosakan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang maut adalah dua dewasa dan dua kanak-kanak.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta Ahmad Razi Harun, 53, Dayang Suhana, 23, Umar Rayyan Suhaimi, 6, dan Nur Damia Irdiha Rosailan, berusia setahun, kesemuanya berada di dalam kereta ketika kemalangan berlaku kira-kira 4.30 petang.

Sementara itu, Hafshah Wangai, 56, yang mengalami cedera parah dan Sharifah Wangai, 49, cedera ringan, berada di luar kereta ketika kejadian.

“Akibat seretan itu, berlaku kebakaran dan kita percaya empat meninggal dunia. Dua dewasa dan dua kanak-kanak. Kita tidak tahu lagi jantina. Mangsa dipercayai dari Kelantan,” katanya.

Pemandu lori berkenaan kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Hulu Terengganu, Mohd Zamri Omar berkata seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba Hulu Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang rentung.

Katanya kemalangan menyebabkan lori berkenaan terbakar 70 peratus di bahagian hadapan manakala kereta terbabit terbakar keseluruhannya.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan .

Mayat keempat-empat mangsa dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment