Thursday 21 May 2015

Saya jadi berbeza bila bersama suami tercinta - Mizz Nina

PENYANYI dan usahawan, Mizz Nina. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR : Penyanyi Mizz Nina, 35, mengakui dirinya akan berubah pada sisi yang berbeza apabila setiap kali berdampingan dengan suami tercinta, Noh Salleh dalam melayari bahtera rumah tangga.

Menurut Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, hanya Noh saja yang berjaya membuatkan beliau menjadi seorang yang manja dan berlainan dengan karakter yang ditonjolkan kepada umum.

Nina berpendapat pasangan yang sudah berumah tangga tidak seharusnya mengetepikan terus bersifat romantis kerana ia penting bagi mengekalkan kesejahteraan dalam sesuatu hubungan.

"Saya menjadi seorang yang begitu berbeza apabila bersama dengan Noh. Saya seperti menjadi orang lain dan begitu 'manja' apabila hanya bersama dengan suami saya saja.

"Ramai yang menganggap apabila sudah berkahwin maka tidak perlu lagi romantik bersama suami namun tanggapan itu salah sama sekali. TLC atau 'tender loving care' begitu penting dengan pasangan kita.

"Memang kami masing-masing sibuk dengan kerjaya namun kami mencari masa untuk bercuti bersama secara spontan. Kami adalah pasangan yang membuat keputusan secara spontan dan gemar melancong bagi meluangkan masa bersama," kata Nina kepada BH Online.

Berasal dari sebuah keluarga berada, Nina tetap menjalankan tanggungjawabnya memegang status sebagai seorang isteri yang sudah masuk empat tahun. 

"Banyak yang saya belajar sebagai seorang isteri dan saya turut menjalankan tugas memasak untuk Noh. Walaupun tidak begitu arif memasak namun saya bertuah kerana Noh bukan seorang yang cerewet.

"Walau apa yang saya masak Noh tetap makan dan tidak merungut pun. Setakat ini saya sering masakkan nasi goreng, ayam kicap dan sambal belacan untuknya.

"Saya bertuah kerana ibu mertua saya sering berkunjung ke rumah dan masakannya memang enak-enak belaka. Malah Noh juga merancang untuk membuka gerai menjual laksa Sarawak pada bulan Ramadan yang bakal menjelang," ujar Nina sambil tersenyum.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment