Thursday 21 May 2015

Baby Syima akan nikahi pengurus sendiri

Baby Shima bersama pengurusnya sejak lima tahun lalu, Mohd Afrendie Affendy (Andy). 

KUALA LUMPUR: Juara Bintang Idola Berita Harian 2010, Baby Syima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli memilih pengurusnya Mohd Afrendie Affendy (Andy) sebagai bakal suaminya. 

Baby Syima, 23, sudah mengenali pengurusnya sejak lima tahun lalu. Dia adalah anak didik Edry Abdul Halim dan penyanyi Adam AF. Baby Shima juga adalah artis di bawah naungan Aico Empire Group, firma yang diusahakan Andy dan Adam. 

Majlis perkahwinan Baby Shima dan Andy akan berlangsung pada 7 Jun depan di Dewan Azalea, Johor Baharu selepas mereka bertunang dalam satu majlis ringkas di Sabah, 1 Mei lalu dengan dihadiri keluarga terdekat. 

"Kami akan bernikah sebelah pagi dan bersanding jam 2 petang di dewan berkenaan. Lokasi nikah masih belum dapat dimaklumkan," katanya kepada BH Online hari ini. 

Mengikut Andy, hubungan yang pada mulanya atas dasar kerja, lama-kelamaan membenihkan rasa sayang. 

Baby Shima dan Andy

Sementara itu Syima yang dihubungi memberitahu selama rapat dengan Andy, hubungan itu dilihat tak lebih daripada paksi kerja. 

"Kebetulan di KL, saya tak ada sesiapa. Jadi dia dan Adam selalu menemani saya keluar. Andy banyak menolong saya. Saya pun tak bersosial di ibu kota dan ruang lingkup lebih banyak dengannya. Dari situ tanpa diduga terbit rasa sayang dan cinta," katanya. 

Baby Shima dan Andy bertunang dalam satu majlis ringkas di Sabah, 1 Mei lalu dengan dihadiri keluarga terdekat. 

Baby Syima yang berasal dari Johor Bahru pernah muncul juara Bintang Idola BH (BIBH) 2010. Berusia 17 tahun ketika itu, dia baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas single pertama, Tak Sabar hangat diputarkan di radio, Baby Syima muncul dengan single kedua berjudul Nombor dua. 

Baby Shima pernah memegang watak utama dalam telefilem Ayam Ribut Syawal yang disiarkan di TV3, Aidilfitri lalu. Dia juga menyanyikan lagu tema Mawar Putih Tanda Perpisahan untuk produk sutradara terkenal, Datuk Rosyam Nor.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment