Thursday 21 May 2015

Datuk Seri Shahidan nafi ganggu tugas Pandikar

Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan beliau mengganggu tugas dan peranan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia khususnya pada setiap kali persidangan Parlimen.

Beliau berkata, persoalan mengenai doktrin pengasingan kuasa tidak pernah berbangkit daripada Pandikar sebelum ini dan ia sebenarnya tidak perlu dibangkitkan.

"Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara sememangnya menjalankan fungsi dengan bebas dan terpisah semasa menguruskan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Tiada sebarang gangguan dari mana-mana pihak termasuk saya sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab hanya membawa usul kerajaan untuk dibahaskan di dalam Parlimen. Hal-hal pentadbiran Parlimen dijalankan oleh Ketua Pentadbir Parlimen," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata lagi, sebagai sebuah institusi yang penting untuk mengawal dan menentukan penubuhan Kerajaan Persekutuan, perjalanan Parlimen perlu mendapat perhatian khusus dan berterusan daripada Perdana Menteri.

"Sebab itu, Perdana Menteri telah membuat keputusan untuk meletakkan seorang menteri dengan portfolio khusus untuk memantau perjalanan Parlimen," jelasnya.

Shahidan juga menegaskan portfolio yang digalasnya itu tidak terlibat, tiada campur tangan atau mengganggu kuasa-kuasa Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam menjalankan tugas.

"Ringkasnya, apa yang perlu diperbincangkan dalam isu ini ialah perkara-perkara yang telah ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment