Thursday, 21 May 2015

Isu Beg udara: Honda Malaysia panggil semula 87,182 unit kenderaannya

Para pemilik kenderaan juga boleh memeriksa status kemas kini produk kenderaan mereka dengan menghubungi nombor talian bebas tol Honda 1-800-88-2020.

PETALING JAYA: Honda Malaysia hari ini mengumumkan pemanggilan semula beberapa model keluarannya berhubung penggantian beg udara.

Langkah tersebut adalah perlu untuk menggantikan inflator beg udara pemandu dan penumpang dengan set yang baharu bagi semua model kenderaan yang terlibat.

Walau bagaimanapun, dalam kenyataan medianya, pihak Honda Malaysia berkata langkah tersebut tidak melibatkan model terbaharu yang dijual di pasaran.

Langkah keselamatan ini melibatkan sejumlah 87,182 unit kenderaannya yang merangkumi model City (keluaran tahun 2003-2008), Civic (2003-2008), CR-V (2002-2007), Jazz (2004-2006) dan Stream (2004-2005).

Penggantian beg udara di sebelah pemandu adalah melibatkan model City (keluaran tahun 2004-2006), Civic (2006), CR-V (2007) dan Jazz (2006) manakala penggantian di sebelah penumpang hadapan adalah bagi model City (2003-2008), Civic (2003-2008), CR-V (2002-2007), Jazz (2004-2006) dan Stream (2004-2005).

“Honda Malaysia akan memanggil semua pelanggan yang terlibat melalui surat pemberitahuan yang mengandungi butiran penuh kemas kini produk. 

“Pelanggan yang menerima surat tersebut dinasihatkan untuk menghantar kenderaan mereka ke pusat pengedar Honda berdaftar yang terdekat untuk pemeriksaan,” kata kenyataan itu.

Kerja-kerja penggantian akan dibuat sejurus komponen tersebut tersedia dan kos barangan serta upah kerja akan ditanggung pihak Honda Malaysia.

Para pemilik kenderaan juga boleh memeriksa status kemas kini produk kenderaan mereka dengan menghubungi nombor talian bebas tol Honda 1-800-88-2020 atau berurusan terus dengan pengedar Honda berdaftar.

“Honda Malaysia Sdn Bhd menyeru pemilik kenderaan Honda yang terlibat supaya menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa seterusnya menjalankan kerja-kerja penggantian di pusat pengedar Honda secepat mungkin,” tambah kenyataan itu.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a comment