Sunday 19 April 2015

Tun M mahu lihat berapa majoriti PRK Rompin, optimis BN akan menang

Tun M mahu lihat berapa majoriti PRK Rompin, optimis BN akan menang

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat Barisan Nasional (BN) bakal menerima sokongan daripada pengundi parlimen Rompin.

Mahathir yang optimis kemenangan BN di Rompin, bagaimanapun ingin melihat pecahan serta perbandingan majoriti parti yang telah bertapak di situ sejak sekian lama.

"Sekarang di Rompin, sokongan terhadap BN masih ada...agak menarik untuk tahu margin yang dapat kali ini," ujar Mahathir.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal setelah mengalahkan bekas ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Diminta mengulas berkenaan PRK di Permatang Pauh, Mahathir menyifatkan BN sukar menawan hati pengundi kawasan itu.

Ini kerana, majoriti pengundi Permatang Pauh telah fanatik dengan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Agak sukar (untuk BN) sebab (pengundi) fanatik. Orang yang tidak sedar akan realiti, kebenaran tapi akan mengundi secara buta-buta," kata Mahathir.

Mahathir ditemui pada 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment