Sunday, 19 April 2015

Lawak Ke Der gamatkan IB

Babak dalam Lawak Ke Der.

Barisan pelakon dalam Lawak Ke Der.

Babak dalam Lawak Ke Der.

BAGI Hans Isaac walaupun Lawak Ke Der kali ini adalah yang ke empat dipentaskan namun, dia tidak sangka ia merupakan yang terbaik yang pernah dipentaskan berbanding sebelum ini.

Menurut Hans, jika sebelum ini ada masanya penonton akan berhenti ketawa tetapi tidak pada pementasan kali ini.

"Apa yang saya lihat sambutan yang diterima sangat baik dan memberangsangkan. Bayangkan, mereka ketawa tidak henti-henti apabila setiap pelawak beraksi.

"Saya sendiri tidak sangka setiap pelawak juga menampilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah kita lihat sebelum ini.

"Ini bererti konsep lawak segar dan nafas baharu menerusi Lawak Ke Der berjaya dikekalkan oleh pelawak terlibat," katanya pada sidang and media selepas pementasan Lawak ke Der 2015 dilakukan.

Tambah Hans, walaupun Afdlin, Dauglas dan Harith pernah membuat persembahan sebelum ini tetapi dia berbangga kerana mereka memberikan sesuatu yang baru kepada audiens.

"Ada yang kata mungkin mereka tidak berjaya menarik perhatian penonton kerana sebelum ini pernah tampil menerusi Lawak Ke Der.

"Namun dakwaan tersebut menyimpang sama sekali kerana lawak-lawak yang ditampilkan jauh berbeza," katanya.

Mengulas mengenai penampilan Bocey pula, akui Hans, dia tidak salah memilih kumpulan komedi yang sedang meningkat naik itu.

"Dengan menggunakan gaya dan personaliti tersendiri, Bocey telah membuatkan audiens ketawa sebaik sahaja mereka melangkah ke pentas.

"Saya berterima kasih kepada mereka kerana tidak mensia-siakan peluang yang diberi untuk beraksi di sini.

"Bagi saya, Bocey punya kelebihan dan kehebatan tersendiri. Saya yakin, penonton yang hadir pada malam ini jatuh cinta dengan persembahan mereka," katanya.

Tidak ketinggalan memuji Sherry, Hans memberitahu, penglibatan Sherry adalah sesuatu yang tidak diduga.

"Ini kali pertama saya menampilkan pelawak wanita, itu pun seorang yang masih baharu dalam bidang ini.

"Apabila bertemunya pada sidang media sebelum ini, saya tertarik dengan keletahnya, kerana itu saya meminta pandangan semua untuk membawa dia bersama walaupun sebelum ini saya pernah katakan tidak akan ada hos untuk Lawak Ke Der kali ini," katanya.

Akui Hans, X factor yang ada dalam diri Sherry membuatkan orang mudah tertarik dengannya.


Cabaran kekal momentum

Dalam pada itu, Achey mewakili Bocey berkata, pertama kali beraksi di pentas IB sememangnya membuatkan mereka teruja.

Namun, menjadi cabaran kepada mereka mengekalkan momentum yang ada ketika membuat pementasan di hadapan penonton.

"Bimbang juga lawak kami tidak menjadi. Lagipun kami tidak mahu penonton melihat lawak yang disampaikan klise," katanya.

Ditanya apakah mereka tidak gentar beraksi bersama pelawak otai, akui Achey, ia merupakan satu penghargaan bagi mereka.

"Bukan mudah untuk sebaris dengan mereka sementelah kami masih baharu dalam bidang ini.

"Tetapi peluang yang ada kami gunakan sebaiknya untuk membuka mata penonton mengenai kewujudan kumpulan ini, lagipun apabila mereka datang menyaksikan Afdlin, Harith dan Douglas, secara tidak langsung mereka akan melihat kami hari ini," katanya.

Pada pementasan tersebut, Bocey juga banyak mempamerkan aksi secara spontan dan di luar jangkaan penonton.

Mengulas mengenai perkara itu, kata Achey, ia memang bukan dalam perancangan mereka.

"Apa pun, kami gembira apabila mendapat respons positif daripada semua yang hadir malam itu," katanya.


Angkat kisah masyarakat

Sama ada dirancang atau tidak, bagi ketiga-tiga sahabat ini, mereka kelihatan selesa mengangkat salah satu topik berkenaan isteri masing-masing menerusi pementasan tersebut.

Bagaikan sengaja 'mengenakan' Hans yang masih belum berkahwin, baik Afdlin, Douglas dan Harith mempunyai persamaan apabila mengangkat topik tersebut.

Bagaimanapun, bukan keseluruhan cerita sebaliknya sebagai pelengkap pementasan tersebut sahaja.

Namun, di sebalik kisah isteri masing-masing, mereka masih ada topik lain yang mempunyai mesej hebat untuk disampaikan.

Diaju pertanyaan mengenai topik tersebut, kata Douglas, ia sekadar untuk hiburan semata-mata.

"Tiada niat lain, saya cuma mahu memberi hiburan kepada audiens. Lagipun, saya rasa topik tersebut punya sesuatu yang berkait rapat dalam kehidupan masyarakat," katanya yang turut mengangkat topik mengenai GST.

Berbalik kepada Afldin, dia mengambil kisah Abam yang ditegur Kevin Zahari kerana menggunakan trademark gemuk is awesome.

Sementara itu, Harith telah mempertaruhkan lawak laman sosial yang sangat rapat dalam kehidupan kita hari ini.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment