Sunday 19 April 2015

Amuk: Pengambilan pengawal keselamatan ikut peraturan

JOHOR BAHARU: Majikan pengawal keselamatan, yang mengamuk di sebuah bank di Taman Molek di sini pada Jumaat, menjelaskan lelaki itu diambil bekerja mengikut peraturan ditetapkan.

Pengarah Urusan Safeguards G4S, Sharin Baba, berkata rekod pekerja menunjukkan lelaki itu mempunyai lesen untuk berkhidmat sebagai pengawal keselamatan mengikut undang-undang negara ini.

"Dia menjalani proses pemilihan, pengambilan dan latihan berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sharin berkata pekerja itu adalah warga Malaysia yang telah berkhidmat dengan syarikat itu lebih daripada setahun, dan syarikat juga tidak pernah menerima aduan berhubung tingkah lakunya atau berkaitan perkhidmatannya.

"Syarikat dengan ini mengesahkan bahawa pengawal keselamatan yang kini ditahan polis berkaitan satu insiden tragik di cawangan sebuah bank di Taman Molek di mana seorang pekerja bank maut dan seorang lagi cedera, adalah pekerja kami," katanya. 

Sharin berkata pihaknya simpati terhadap mangsa amuk itu dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kejadian itu jam 3.30 petang, seorang pegawai bank, Ho Chin Tau, 33, maut ditikam manakala rakan sekerja wanitanya yang berumur 54 tahun cedera dilibas oleh pengawal keselamatan yang mengamuk secara tiba-tiba.

Suspek kemudian ditahan polis dengan bantuan orang ramai dan kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment