Sunday 19 April 2015

Hadi jawab 'rahsia' Khalid bersamanya ke Jakarta

  • Hadi jawab 'rahsia' Khalid bersamanya ke Jakarta
  • Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya mengenai kehadiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media hari ini.

AMPANG - "Kebetulan, beliau ada kawan dekat sana,” demikian respons ringkas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya mengenai kehadiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Jakarta bersamanya sehingga timbul khabar angin yang mengatakan 'pertemuan' itu diadakan bagi membincangkan mengenai penggantian Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, dalam pertemuan itu, perbincangan mengenai Abdul Khalid ingin menduduki semula kerusi nombor satu di Selangor itu tidak timbul.

"Saya lawat Indonesia berjumpa dengan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Indonesia, Pengerusi Pertamina serta kalangan cendekiawan termasuk Muhammadiah, ulama dan golongan akademik untuk membincangkan perpaduan ummah di Asia Tenggara. 

"Kita tidak mahu apa yang berlaku di Asia Barat berlaku di sini walaupun kita berbeza pandangan dalam kalangan kumpulan Islam dan pemerintah sendiri. Kita tetap pilih demokrasi berparlimen walaupun ada kelemahan yang kita tak setuju tapi tak sampai jadi macam Asia Barat yang ada campur tangan asing.

"Kita tak mahu campur tangan asing berlaku di negara kita, itu sebenarnya. Kita bincang itu saja tak timbul isu nak kembalikan Khalid Ibrahim‎," katanya kepada pemberita pada majlis Kongres Profesional Muslim SeMalaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu tersebarnya sekeping gambar yang telah dimuat naik di Twitter Abdul Khalid sendiri yang memaparkan pertemuan beliau bersama-sama Abdul Hadi, Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri di Jakarta.

Sementara itu, turut tersebar di media sosial, mengenai perbincangan mengenai lima Adun Selangor dari PKR yang akan mengumumkan untuk ‘melompat’ sekali gus menyatakan sokongan terhadap Abdul Khalid. 

Ekoran khabar angin yang tersebar itu, Mohamed Azmin menafikan perkara itu dan menganggap perkara itu hanya cerita dongeng semata-mata.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment