Saturday 7 March 2015

Siap sedia hadapi gelombang kedua pengganas Sulu


LAHAD DATU - Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarangan kemungkinan termasuk gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu, kata Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau berkata, anggota keselamatan Esscom sedang memantau dengan rapi dan meneliti maklumat yang diterima berhubung perkara itu.

"Kita memang ada mendengar akan berlaku lagi ancaman gelombang kedua pencerobohan pengganas. Namun begitu, pihak keselamatan sedang memantau rapat dan mengambil maklum mengenai perkara ini termasuk berkongsi maklumat risikan dengan beberapa negara jiran.

"Kita perlu berwaspada dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada pengamal media yang menyertai Program lawatan Esscom bersama media ke Tanduo, kira-kira 150 kilometer dari sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Ruji Ubi, Pengarah Logistik dan Urustadbir Esscom Brig Jen Subari Tomo dan Pengarah Komponen Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi.

Abdul Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus kononnya akan berlaku gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu.

Berikutan itu, beliau berkata Esscom telah mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi menghadapi sebarang ancaman termasuk menambah aset-aset keselamatan dan pertahanan dan jumlah keanggotaan.

Esscom juga telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dengan melaksanakan beberapa latihan kecekapan melalui Op Pasak I dan II yang telah dilaksanakan baru-baru ini di Sandakan dan Tawau, katanya.

"Latihamal ini telah mendedahkan teknik dan langkah-langkah yang harus diambil sekiraya berlaku insiden pencerobohan di kawasan yang strategik seperti balai-balai polis, lapangan terbang dan rompakan bersenjata di bandar-bandar utama di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone)," katanya.

Abd Rashid menjelaskan bahawa sejak insiden pencerobohan Tanduo dua tahun lepas, tidak ada lagi pencerobohan pengganas Sulu yang baharu.

Beliau juga berkata: "Kita percaya pihak musuh tidak mudah untuk masuk ke negara ini tanpa kerjasama dan sokongan daripada penduduk tempatan yang menjadi tali barut kepada penjenayah di Esszone". 

Sehubungan itu, Abd Rashid berkata pihak Esscom sedang memantau semua kegiatan tali barut-tali barut terbabit dan meminta mereka menghentikan kegiatan itu.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang didapati bersubahat dan melindungi penjenayah.

Mengenai perancangan masa depan kawasan perkampungan Tanduo, beliau berkata terpulang kepada kerajaan untuk memutuskannya.

"Kawasan ini adalah satu kawasan yang amat bersejarah bagi negara kita dan mungkin pihak kerajaan ada perancangan lain termasuk memulihara dan menjadikan tempat ini sebagai bahan bersejarah untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Ops Daulat yang dilancarkan pasukan keselamatan Malaysia terhadap pengganas Sulu di Tanduo dan Simunul, Semporna menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban manakala dianggarkan 68 pengganas ditembak mati.

Menyentuh isu penculikan di Esszone, Abd Rashid berkata, sejak perintah berkurung dikuatkuasakan keadaan kini lebih baik dan rata-rata rakyat mahu perintah berkurung itu diteruskan.

"Isu penculikan bukan perkara baru di Esszone. Kes penculikan telah berlaku sejak awal tahun 2000 lagi, jadi Esscom memang mengambil berat berkenaan isu ini.

"Esscom juga telah bekerjasama dengan semua agensi keselamatan dan pertahanan bagi mengekang kejadian ini," katanya.

Mengenai Operasi Bersepadu Khas memburu pendatang tanpa izin (Pati) di Esszone, beliau berkata operasi ternyata berkesan terutama dalam mengurangkan dominasi penjaja atau peniaga Pati di kawasan bandar utama, khususnya di Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kunak.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment