Saturday, 7 March 2015

Ribuan sertai perhimpunan kemuncak 'Kita Lawan' tanda solidariti terhadap Anwar

Dianggarkan lebih empat ribu orang menyertai perhimpunan kemuncak #KitaLawan di KLCC, Kuala Lumpur yang berlangsung hari ini.

KUALA LUMPUR: Dianggarkan lebih empat ribu orang menyertai perhimpunan kemuncak #KitaLawan di KLCC, Kuala Lumpur yang berlangsung hari ini.

Perhimpunan bermula dengan para peserta berkumpul di beberapa lokasi ditetapkan di ibu negara iaitu di pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Pasir Seni sebelum berarak dan akhirnya berkumpul di KLCC.

Keadaan menjadi sesak di beberapa jalan utama di Kuala Lumpur termasuk di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman berikutan perarakan yang diadakan oleh peserta yang rata-ratanya memakai baju berwarna hitam.

Sekitar jam 5 petang, beberapa bunyi letupan kedengaran berdekatan Masjid Jamek, Sogo dan KLCC. Namun kemudiannya dilaporkan hanyalah bunyi mercun. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Turut hadir pada perhimpunan ini ialah barisan kepimpinan Pakatan Rakyat antaranya Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah; dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Turut kelihatan ialah aktivis Adam Adli dan Hishamuddin Rais.

Tian Chua dalam ucapannya menaruh keyakinan bahawa perhimpunan ini akan membawa perubahan kepada senario politik tanah air.

"Tindakan tuan-tuan dan puan-puan menyertai (perhimpunan) adalah patriotik. Ini adalah semangat perlembagaan. Ini adalah kerana kita tidak sanggup melihat negara kita dikhianati oleh pemimpin rasuah.

"Hari ini tidak cukup ramai. Kita akan kembali dengan jauh lebih besar," tambah Tian Chua.

Perhimpunan 'Kita Lawan' diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar setelah mendapatinya bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment