Saturday, 7 March 2015

Trauma lokasi sama anak 'pergi'

  • Trauma lokasi sama anak 'pergi'
  • Ahli keluarga sugul ketika ditemui di rumah mayat Hospital Lipis, semalam.

KUALA LIPIS - Seorang bapa tidak menyangka padang sekolah sekali lagi meragut nyawa anaknya setelah dua anak perempuannya meninggal dunia di lokasi yang sama sebelum ini, juga ketika menghadiri aktiviti sukan.

Borhan Yunus, 51, berkata, anak keempatnya, Ahmad Norhanizam, 12, meninggal dunia ketika menyertai kejohanan Olahraga Zon Padang Tengku di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Merapoh, petang kelmarin.

Menurutnya, Ahmad Norhanizam dipercayai pengsan ketika menanti baton bagi acara balapan 4x200 meter sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh oleh pihak sekolah, bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

Borhan menjelaskan, Ahmad Norhanizam yang juga murid tahun 6, SK Teluk Gunung dipercayai rebah dalam jarak dua meter dari tempat dua orang kakaknya meninggal dunia sebelum ini.

“Pada 2006, anak sulung saya, Norhana Akma ketika itu berusia 10 tahun meninggal dunia di padang yang sama dipercayai akibat terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tengkuk.

“Selang dua tahun kemudian, anak kedua, Nurul Syafikah juga ketika kejadian berusia 10 tahun turut meninggal dunia di tempat yang sama kakaknya 'pergi'.

“Ketika itu, Nurul Syafikah mengadu sakit perut dan meminta izin gurunya untuk ke tandas. Ketika melalui kawasan kakaknya 'pergi' secara tiba-tiba dia rebah dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Lipis, semalam.

Borhan berkata, dia hadir ke kejohanan olahraga itu pagi kelmarin untuk melihat Ahmad Norhanizam bersukan sebelum pulang ke rumah jam 1.30 petang.

"Sebelum pulang saya sempat pesan kepada gurunya untuk menghantar dia (Ahmad Norhanizam) pulang ke rumah setelah selesai kejohanan," katanya yang tinggal di Kampung Merapoh, di sini.

Bagaimanapun, Borhan berkata, kira-kira jam 3 petang sepupunya datang ke rumah memberitahu kejadian yang menimpa Ahmad Norhanizam dan bergegas ke klinik, namun dia disahkan telah meninggal dunia.

“Dua minggu lalu saya sempat menghantar Ahmad Norhanizam membuat pemeriksaan kesihatan di klinik kerana dia ada pertandingan bola sepak.

“Doktor memaklumkan tekanan darah dan jantung anak saya berada di tahap normal dan dibenarkan menjalani aktiviti sukan,” katanya.

Borhan berkata, selain tiga anaknya yang meninggal dunia di sekolah, dia turut kehilangan anak kelimanya, Rizal Adha pada tahun 2011.

"Kejadian yang menimpa anak kelima yang ketika itu berusia enam tahun berlaku tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

"Ketika itu, dia sedang berlari mengelilingi meja makan bersama sepupunya sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di klinik berdekatan," katanya yang reda dengan apa yang berlaku kepada anak-anaknyadan menerimanya sebagai ujian daripada ALLAH SWT.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian jam 2.26 petang itu, mangsa pengsan ketika menyertai pertandingan olahraga di padang sekolah berkenaan.

“Mangsa yang dibawa ke klinik Merapoh kemudiannya telah disahkan meninggal dunia pada jam 3.20 petang,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan punca kematian masih lagi dalam siasatan.

Menurutnya, jenazah murid itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merapoh, petang semalam.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment