Saturday, 7 March 2015

Keluarga gembira Zakia dibebaskan

Konstabel Zakia Aliep

TUARAN - "Pembebasan Zakia Aliep memang amat menggembirakan seluruh anggota keluarga kami," kata sepupu Lans Koperal Zakia, Rasidin Kadim sebaik menerima berita pembebasan anggota polis yang diculik kumpulan bersenjata Selatan Filipina pada Julai tahun lalu.

Malah Rasidin, 40, berkata, dia juga tidak menduga sepupunya itu benar-benar sudah dibebaskan selepas hampir lapan bulan dalam tahanan kumpulan bersenjata itu.

Katanya pembebasan itu juga merupakan satu rahmat dan hadiah kepada anak sulung Zakia, Mohd Hisham Izzudin, yang genap setahun pada 5 Mac lalu.

"Kami semua tidak sabar menunggu kepulangannya ke rumah dan yang penting dia kini telah selamat," katanya kepada pemberita di Tenghilan di sini hari ini.

Sementara itu, abang sulung Zakia, Zakriah, 35, berkata pada mulanya mereka mendengar mengenai pembebasan itu melalui media sosial pada 8 pagi tadi dan sukar mempercayai berita itu.

Bagaimanapun katanya, selepas isteri Zakia, Sharifah Erna Berson, menerima panggilan telefon daripada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran mengenai berita pembebasan itu, barulah mereka mempercayainya.

"Kira-kira jam 11.50 pagi tadi, anggota polis membawa isteri Zakia bersama anak sulung mereka dan kedua ibu bapa saya ke lapangan terbang," kata Zakriah.

Beliau berkata, sejak Zakia ditahan pada Julai tahun lalu, hanya sekali beliau dapat berkomunikasi dengan adiknya itu iaitu sehari selepas insiden penculikan tersebut.

Zakia yang diculik pada 12 Julai tahun lalu di Pulau Mabul, Semporna, ketika sedang bertugas di pulau berkenaan, dibebaskan hari ini.

Beliau tiba di Sandakan kira-kira 7 pagi tadi dan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebelum diiringi pegawai polis menaiki pesawat ke Kota Kinabalu. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment