Friday 6 March 2015

MAS pasang sistem penjejakan pesawat - Liow

MAS telah memperkenalkan sistem muat turun data penerbangan setiap 15 minit bagi penjejakan pesawatnya mengikut masa nyata. -Gambar fail

PUTRAJAYA: Syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) telah memperkenalkan sistem muat turun data penerbangan setiap 15 minit bagi penjejakan pesawatnya mengikut masa nyata.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau telah mengarahkan MAS memasang sistem penjejakan pesawat itu sebagai langkah meningkatkan keselamatan pesawat.

Malaysia merupakan penyokong kuat bagi penggunaan sistem penjejakan masa nyata itu susulan insiden pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang tahun lepas.

"(Muat turun data) setiap 15 minit, amat hampir dengan masa nyata. Bagi pesawat dan industri penerbangan, muat turun isyarat dan pemprosesan data setiap 15 minit adalah amat penting," katanya pada taklimat media di sini hari ini bersempena genap setahun insiden MH370 hilang.

Penerbangan MH370, membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac tahun lepas. Pesawat itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Liow berkata Malaysia ketika ini bekerjasama dengan Australia bagi penggunaan sistem penjejakan pesawat itu dan menyambut baik usaha Australia untuk menambah baik sistem itu.

Malaysia, katanya telah mencadangkan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam mesyuarat majlis pertubuhan itu di Montreal, Kanada pada Oktober lepas supaya mengkaji pemasangan sistem penjejakan penerbangan masa nyata pada semua pesawat komersial antarabangsa.

"ICAO mengambil perhatian serius cadangan itu dan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menganalisis cadangan itu dan akan mengumumkan keputusan mereka menjelang 31 Ogos.

"Terdapat syarat tertentu bagi penggunaan sistem penjejakan masa nyata ini," kata Liow.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment